suria

“Setahun saya menanti...” - Ebit Lew sifatkan mahkamah tempat terbaik dedah kebenaran

Ebit bercakap kepada media selepas perbicaraan selama empat hari selesai. Foto: Sinar Harian

AKTIVIS terkenal, Ebit Lew menyifatkan mahkamah adalah tempat yang sesuai untuk mencari kebenaran.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, berkata, dia bersyukur perbicaraan yang berlangsung selama empat hari adalah hari yang dinantikannya sejak setahun yang lalu.

"Syukur Alhamdulillah. Setahun saya menanti hari (perbicaraan) mahkamah ini.

"Mudah-mudahan dapat tahu kebenaran yang sebenarnya dan saya bersyukur sudah sampai mahkamah," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Ebit berhadapan dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual, membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew masih tersenyum, tenang masuk mahkamah sambung bicara kes gangguan seksual

Dalam pada itu, Ebit menyatakan perasaan tidak sabarnya supaya perbicaraan kes itu dijalankan dengan segera.

"Ikut hati saya ada rasa sedih juga sebab kena menanti lagi kalau boleh saya nak teruskan Sabtu, esok saja sampai habis tetapi bukan saya menentukan.

"Peguam kami tadi, Ram dan lain-lain minta awal, minta tarikh paling awal November tapi pendakwa raya tak dapat tarikh itu. Mereka penuh sebab pendakwa raya dari Putrajaya, jadi kami setuju secara bersama pada Disember," ujarnya.

Perbicaraan yang berlangsung sejak Selasa setakat ini telah memanggil tiga saksi daripada pihak pendakwaan termasuk seorang daripadanya ialah pendakwah, Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung, 39.

Mahkamah Majistret pada sesi terakhir menetapkan tarikh baharu 20 hingga 22 Disember bagi meneruskan perbicaraan berkaitan kes yang dihadapinya.

Ebit diwakili pasukan peguam yang terdiri daripada Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Sementara itu, pendakawan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain