suria

Alhamdulilah… Azi ejen kosmetik selamat, polis tahan 7 suspek

Rosnazirah Mohd Naim, 36, dilapor dilarikan dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat. - Foto: Media sosial.

SELEPAS kira-kira 16 hari dilaporkan hilang, ejen jualan barangan kosmetik yang didakwa diculik dalam kejadian pada 13 September lalu berjaya diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah lokasi di Thailand.

Wanita didakwa dilarikan tiga lelaki dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu Kelantan dibawa pulang ke Malaysia pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, kejayaan itu adalah hasil bantuan dan kerjasama pihak berkuasa Thailand.

"Seramai tujuh lelaki warga tempatan ditahan di Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Acryl Sani berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas merangkumi aspek siasatan dan operasi bagi menyelesaikan kes penculikan itu.

"Kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan polis Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya menjejaki serta mengenal pasti lokasi keberadaan mangsa di negara itu," katanya.

Acryl Sani berkata, pihaknya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada polis Thailand dan kedutaan Malaysia di sana atas kerjasama serta bantuan dalam usaha yang dilaksanakan bagi membantu menyelamatkan mangsa culik.

"PDRM juga menyeru masyarakat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian yang menyalahi undang-undang dalam usaha membanteras kejadian jenayah dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara," katanya.

Pada 13 September lalu, media melaporkan mangsa yang berusia 36 tahun dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan.

Wanita itu dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam hari yang sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.

Penculikan mangsa dipercayai ada kaitan dengan sindeket dadah dan susulan itu, polis menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita, berusia 35 tahun hingga 47 tahun bagi membantu siasatan. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

ejen kosmetik, PDRM, Thailand, kes culik

Artikel Berkaitan

Artikel Lain