Terkejut dapat jersi Liverpool, ramai terhibur mufti sopan je ‘melobi’ baju pasukan lain ketika ditanya Raja Permaisuri Agong

Tulisan Tunku Azizah dan Zulkifli mengenai jersi pasukan bola sepak meraih perhatian di laman sosial.

UMUM mengetahui Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri merupakan penyokong Liverpool dan beliau menerima sehelai jersi pasukan itu, satu kejutan yang tidak disangka-sangka pada Khamis.

Jersi merah putih itu merupakan cenderahati daripada pasangan suami isteri yang membawa anak mereka ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya untuk ditahnik oleh Zulkifli.

ARTIKEL BERKAITAN: “Pada mulanya, saya anggap Salah sama macam pemain Muslim lain, tapi...” - Mufti

ARTIKEL BERKAITAN: “Mainlah seperti Liverpool” - Apabila tiba-tiba mufti WP ‘sekolahkan’ Arsenal... terus jadi viral!

“Kebiasaannya, pasangan yang datang membawa bayi mereka untuk ditahnik akan membawa cenderahati untuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Cuma, cenderahati kali ini agak unik dan cukup sesuai dengan jiwa saya. Terima kasih ya!” tulis Zulkifli di laman sosial Twitternya pada Rabu malam.

Zulkifli (dua, kanan) berbesar hati menerima cenderahati berupa jersi pasukan Liverpool pada Rabu.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan sering kali membuat perkongsian di laman sosial yang memuji kehebatan pemain dan pasukan The Reds itu.

Perkongsian Zulkifli mengenai pemberian jersi itu turut menarik perhatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Nanti saya hadiahkan jersi bola kat Datuk OK... datuk pasukan mana?” tulis Tunku Azizah menerusi akaun Twitternya @cheminahsayang.

Menghargai hasrat Tunku Azizah, Zulkifli menyatakan minatnya terhadap pasukan Liverpool dan Brazil, namun tidak menolak pemberian jersi pasukan lain.

Tulisan Tunku Azizah yang mahu menghadiahkan jersi pasukan bola sepak kepada Zulkifli.

“Ampun Tuanku. Junjung kasih kesudian mencemar duli ke ciapan patik dan ingin tahu pasukan patik. 

“Patik minat Liverpool dan Brazil. Patik maklum KBDYMM Tuanku minat Arsenal dan berbesar hati menerima apa jua kurnia Tuanku seumpama jersi Arsenal, Pahang (rumpun Pantai Timur) atau JDT,” ujar Zulkifli.

Patik minat Liverpool dan Brazil. Patik maklum KBDYMM Tuanku minat Arsenal dan berbesar hati menerima apa jua kurnia Tuanku seumpama jersi Arsenal, Pahang (rumpun Pantai Timur) atau JDT

ZULKIFLI

Rata-rata warganet memuji Zulkifli kerana menjawab pertanyaan Tunku Azizah dengan baik, malah ada juga yang secara berseloroh menyuruh mufti menyenaraikan beberapa pasukan sebagai pilihan jersi.

“Halus ustaz minta semua jersi, haha,” tulis seorang warganet.

“Dapat semua tu ustaz,” komen seorang lagi dengan nada bergurau.

Respons Zulkifli mengenai pertanyaan Tunku Azizah.

“Wah datuk sekali lobi banyak juga ye, mohon lobi untuk saya sekali,” kata seorang pengguna Twitter secara berseloroh.

“Hahaha ustaz kalau dapat semua jenis jersi kat atas tu saya nak satu,” ujar yang lain.

Bagaimanapun kurang daripada tiga jam selepas respons Zulkifli, Tunku Azizah memuat naik komen mengenai jersi untuk mufti.

“Jom kita semua hadiahkan jersi bola untuk Mufti Wilayah Persekutuan... tolong sampaikan kepada semua negeri,” tulis Tunku Azizah sambil membuat pautan dengan beberapa akaun Twitter persatuan-persatuan bola sepak negeri termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tulisan Tunku Azizah yang meraih perhatian warganet.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter meminta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai pasukan Arsenal.

Zulkifli kemudian menjawabnya secara ringkas dan bersahaja, ‘mainlah seperti Liverpool’ sehingga tulisannya itu menjadi tular di laman sosial.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain