suria

Lagi foto terbaru didedahkan, Jho Low sedang ‘berkeliaran’ di Macau?

Tangkap layar foto yang menunjukkan Jho Low (kiri) ketika berada di sebuah pusat membeli belah di Macau.

SATU foto terbaharu didedahkan oleh dua wartawan Tom Wright dan Bradley Hope mendakwa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low di sebuah pusat beli belah di Macau.

Menurut Bradley, foto tersebut diterima daripada penyiasat persendirian yang merakam gambar Jho Low memakai baju berwarna oren yang membelakangkan kamera.

Bradley berkata, penyiasat persendirian itu turut menunjukkan foto yang mendedahkan wajah Jho Low pada ketika itu namun dia tidak dibenarkan untuk berkongsi gambar berkenaan atas sebab tertentu.

“Jelas sekali terdapat masa yang berbeza apabila Jho Low menjadi individu yang sangat dicari kerana usaha ingin mendapatkan semula wang (telah diseleweng daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tidak jelas siapa yang mengupah penyiasat persendirian ini tetapi ia mungkin kerajaan Malaysia atau perantara kerajaan Malaysia. Tetapi bagaimanapun dia telah dikesan,” ujar Bradley menerusi perkongsian di YouTube bersama Tom pada Jumaat.

Bradley berkata, turut kelihatan di dalam gambar tersebut ialah isteri kepada Jho Low iaitu Jesselynn Chuan Teik Ying yang memakai gaun hitam bersama seorang pembantu dan seorang individu dipercayai merupakan penjaga kepada ahli perniagaan tersebut.

Bagaimanapun, kedua-dua wartawan tersebut tidak mendedahkan mengenai tarikh ketika foto tersebut diambil.

Dalam pada itu, Bradley berkata, dengan mengambil kira nilai AS$8.5 bilion atau RM38.8 bilion diselewengkan daripada 1MDB berbanding jumlah berjaya dipulihkan oleh beberapa kerajaan termasuk Malaysia, Jho Low dilihat masih mempunyai kekayaan yang besar.

Beliau berkata, kerajaan AS dan United Kingdom (UK) ketika ini dilaporkan berjaya memulihkan aset berjumlah kira-kira 1.4 bilion dolar AS atau RM64 bilion merangkumi aset seperti rumah mewah, kapal terbang dan pemilikan saham syarikat.

Tambah beliau, tidak semua wang yang diselewengkan daripada 1MDB berjaya dikesan dan diketahui keberadaannya.

Tom berkata, dengan mengambil kira situasi tersebut, beliau percaya Jho Low masih mempunyai pegangan terhadap berbilion ringgit wang yang diselewengkan daripada 1MDB dan perkara itu juga dilihat menjadi sebab mengapa ahli perniagaan itu mampu kekal bebas.

“Adalah menjadi satu di luar kebiasaan untuk orang yang dalam pelarian (ada kekayaan yang besar).

“Ini adalah satu lagi sebab kenapa rakyat Malaysia dan kerajaan Malaysia perlu sangat marah terhadap fakta bahawa tiada sebarang tindakan diambil (untuk menangkap Jho Low),” ujarnya.

Setakat November tahun lepas, Kementerian Kewangan mengumumkan sebanyak RM20.53 bilion aset 1MDB telah dipulangkan semula kepada kerajaan Malaysia. -SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain