suria

Mydin, Carrie Junior rai bayi lahir pada 16 September

Pengurus Cawangan MYDIN Sandakan, Zulkifli Yunus menyerahkan sumbangan hamper di Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 16 September.

SERAMAI 60 'bayi Hari Malaysia' yang dilahirkan di Sabah dan Sarawak diraikan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) dengan kerjasama syarikat Carrie Junior.

Kesemua mereka menerima sumbangan berupa hamper istimewa sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu.

Menurut Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Ameer Ali Mydin, sebanyak 60 hamper telah disediakan bagi meraikan bayi yang dilahirkan pada tarikh yang bersejarah itu.

"Ia telah menjadi hasrat kami untuk memberi sumbangan kepada ibu dan bayi sebagai tanda signifikannya sambutan Hari Malaysia dengan penubuhan syarikat tempatan, MYDIN yang telah berdiri teguh sepanjang 65 tahun yang lepas.

"Justeru itu, kami ingin meraikan saat gembira dengan ibu dan bayi yang lahir pada tarikh tersebut," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, sumbangan tersebut merupakan komitmen MYDIN untuk menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti setempat yang telah menyokong MYDIN sepanjang berkhidmat untuk negara.

Malah katanya, kali terakhir sumbangan diberikan adalah pada tahun 2019 di mana sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Terdahulu, pada program tersebut, sebanyak empat buah hospital di Sabah iaitu Hospital Kinabatangan, Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Hospital Beluran, serta Hospital Umum Sarawak dipilih untuk menyertai.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain