suria

Sering beraya di luar negara sejak 2010, Aidilfitri kali ini lebih ‘special’... anak ‘terbangkan’ keluarga dari Malaysia ke Amerika

Pasang pelita dan bermain bunga api dilakukan di US.

WALAUPUN berada di luar negara, kemeriahan menyambut ketibaan Syawal seperti tradisi di kampung halaman tetap diraikan

Mana tidaknya, suasana sebegitu tidak dapat dilupakan terutama pemasangan pelita sempena malam tujuh likur selain percikan bunga api dan mercun.

Menurut Saif Suhairi yang sudah bermastautin di Amerika Syarikat (AS) sejak 2017, dia mahu anak-anaknya merasai kemeriahan dan tradisi anak Melayu yang lain walaupun meraikan Hari Raya Aidilfitri jauh beribu batu dari kampung halaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Menu wajib pagi raya... Ketahui sejarah ketupat, rupanya-rupanya dari Indonesia

ARTIKEL BERKAITAN: Balik raya setahun sekali tapi banyak ‘complaint’ cara adik-beradik di kampung jaga mak ayah... Ini pesan kaunselor keluarga!

Malah, katanya rumah terbuka dan pemberian duit raya tetap dilaksanakan.

Bercerita kepada mStar, ujar anak jati Selangor itu, dia sudah berkelana ke bumi asing sejak 2010 sehinggalah berjaya membina empayar perniagaan dalam bidang logistik dan trading pada tahun 2012.

Saif berkelana ke negara luar sejak 2010.

Saif berkelana ke negara luar sejak 2010.

"Dari tahun 2010 hingga 2015 saya berada di United Kingdom (UK) dan Australia kerana belajar di Universiti Of Manchester dalam jurusan kejuruteraan mekanikal. Dalam tempoh ini, memang saya sudah beraya di perantauan.

"Sekitar tahun 2016 hingga 2019, saya sering ulang alik ke AS pula. Pada tahun 2017 dan 2018 saya sambut Aidilfitri serta Aidiladha di sana... disebabkan bisnes yang dilakukan, saya sentiasa berulang alik dari Malaysia ke luar negara.

"Malah dalam tempoh tersebut, beberapa negara telah saya diami termasuk UK, Australia dan sekarang AS.

Tradisi memasang pelita tidak dilupakan.

Tradisi memasang pelita tidak dilupakan.

"Pengalaman saya beraya di AS adalah sejak tahun 2017 sehingga sekarang. Hanya tahun 2019 saya menyambut Aidilfitri di Malaysia," ujarnya yang turut bersedih kerana sudah lama tidak pulang ke kampung halaman kerana penularan wabak Covid-19.

Lebih menyedihkan apabila, beberapa kematian dalam keluarganya tidak dapat dihadiri termasuk arwah datuk yang paling disayangi.

Walaupun prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan di Malaysia telah mempunyai beberapa kelonggaran, namun disebabkan isteri yang sedang sarat mengandung, dia sekeluarga tidak dapat pulang pada tahun 2022.

Sambutan raya diadakan seperti pesta.

Sambutan raya diadakan seperti pesta.

"Kerana sudah bertahun-tahun tidak berjumpa ahli keluarga dan perlu menyambut kelahiran anak yang baru ini, Alhamdulillah ibu dan bapa saya menyatakan hasrat untuk menyambut Aidilfitri di sini bersama saya.

"Mereka tiba beberapa hari lalu kerana sudah tidak dapat menahan rindu untuk bersama cucu di samping melawat anak yang baru dilahirkan dan 2022 merupakan tahun pertama mereka berdua datang bersama dengan saya seisi keluarga," ujarnya ceria.

Katanya, kedua ibu dan bapanya berasa begitu teruja kerana berpeluang meraikan Aidilfitri di perantauan dan melihat suasana sambutan di AS.

Antara kenangan sambutan Hari Raya Aidilfitri di rantau.

Antara kenangan sambutan Hari Raya Aidilfitri di rantau.

"Mereka memang kata teruja tambahan pula persekitaran di sini sangat seronok ketika bulan Ramadan... pengalaman berbeza dari Malaysia," luahnya yang melangsungkan perkahwinan pada tahun 2012.

Bercerita tentang pengalaman beraya di luar negara, Saif memberitahu, komuniti muslim yang berada di negara asing pastinya akan mengadakan satu hari penuh dengan pelbagai aktiviti seperti penganjuran pesta.

Jelasnya, ia melibatkan semua negara termasuk dari Arab, Afrika, India, Pakistan atau mana-mana sahaja Muslim yang berada di kawasan sekitar.

Saif tidak ketinggalan mengerjakan solat terawih di masjid.

Saif tidak ketinggalan mengerjakan solat terawih di masjid.

"Pesta itu maksudnya lebih kepada satu hari yang penuh dengan aktiviti untuk kanak-kanak bersuka-ria dan bergembira kerana ada pelbagai aktiviti permainan selain turut dianjurkan pertandingan.

"Kanak-kanak akan diberi hadiah dan paling penting adalah makanan-makanan yang pelbagai dan penuh rasa kerana masing-masing akan membawa hidangan tradisional negara masing-masing.

Biasanya komuniti muslim akan sewa kawasan lapang termasuk juga stadium yang besar untuk memuatkan beribu orang.

SAIF SUHAIRI

"Suasana sambutan sebegitu agak menarik juga sebab kebanyakan orang datang daripada latar belakang negara yang berbeza dan semua akan pakai pakaian tradisional semasa solat hari raya. Macam-macam sangat pakaian yang kita boleh jumpa dan semua sudah rasa seperti keluarga kerana masing-masing adalah anak rantau.

"Pada waktu solat hari raya juga, biasanya komuniti Muslim akan sewa kawasan lapang termasuk juga stadium yang besar untuk memuatkan beribu orang. Rasa bangga juga kerana dapat bertakbir ramai-ramai dan solat hari raya di padang stadium yang besar di tengah-tengah bandar," imbasnya sambutan hari raya yang pernah diraikan sebelum ini.

Saif bersama isteri dan anaknya.

Saif bersama isteri dan anaknya.

Tambahnya, tradisi untuk bagi duit raya kepada kanak-kanak juga dilakukan namun tidak semua menggunakan sampul raya dan ada yang memberikan goodies bag berisi manisan atau coklat.

"Komuniti Melayu di sini pula akan adakan rumah terbuka dan ia selalunya disertai masyarakat dari Singapura serta Indonesia. Biasanya rumah terbuka diadakan di rumah 'ketua kampung' Melayu iaitu orang yang paling berpengaruh dan paling dihormati dalam kalangan masyarakat Melayu.

"Konsep yang diterapkan adalah, setiap keluarga mesti membawa makanan seperti potluck. Memang sangat best sebab di sini kita boleh dapat menikmati masakkan-masakan yang sudah lama kita rindui dari kampung halaman. Ada juga beli bunga api dan mercun untuk dimainkan pada waktu malam bagi menghidupkan tradisi dari kampung halaman.

Saif gembira apabila dapat beraya bersama ibu dan bapanya di US.

Saif gembira apabila dapat beraya bersama ibu dan bapanya di US.

"Saya sendiri ada pasang lampu pelita dan juga lampu hias di rumah untuk menghidupkan tradisi supaya anak-anak tidak lupa dan tahu asal usul mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, Saif berkata, dia sendiri memperkenalkan tradisi baharu untuk keluarganya iaitu membeli hadiah pada malam raya.

"Cumanya saya sendiri ada menghidupkan satu tradisi personal untuk keluarga saya iaitu pada malam raya kita akan beri hadiah dan membeli hadiah untuk anak-anak supaya mereka dapat menikmati hari raya ini sesuai dengan budaya masyarakat di sini yang menerima hadiah pada musim perayaan," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain