suria

Sri Ram ketuai rayuan Sam Ke Ting secara pro bono

Sam Ke Ting dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun pada 13 April.

BEKAS Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram akan mengetuai pasukan pembelaan dalam rayuan kes Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak.

Pasukan tersebut akan disertai Sri Ram, Harvinderjit Singh dan Muhammad Faizal Mokhtar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes basikal lajak: Rayuan Sam Ke Ting didengar Isnin ini

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah benar Sam Ke Ting tangguh hukuman, denda

Menurut Harvinderjit, mereka menawarkan perkhidmatan secara pro bono (tanpa bayaran) bagi kes rayuan Sam.

"Sri Ram setuju untuk mengetuai pasukan rayuan wanita terbabit," ujarnya.

Harvinderjit berkata, Sam telah membuat keputusan tersebut di pejabat Sri Ram pada Khamis.

Dalam pada itu, Harvinderjit memberitahu, mereka akan memaklumkan pelantikan sebagai peguam bela Sam kepada timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron semasa pengurusan kes pada 11 Mei.

Jelasnya, pasukan pembelaan akan meminta rekod rayuan sebagai persediaan untuk kes itu, sambil menambah bahawa petisyen rayuan akan difailkan selepas itu.

"Jika perlu, kami juga akan menambah persoalan undang-undang untuk dihujahkan semasa rayuan," kata Harvinderjit.

Pada 13 April lalu, Hakim Abu Bakaar Katar menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 ke atas Sam yang berusia 27 tahun.

Malah, lesen memandunya dibeku selama tiga tahun selepas hukuman penjara tamat kerana memandu secara melulu yang mengakibatkan lapan remaja basikal lajak maut di Jalan Lingkaran Dalam Johor Bahru di Johor sekitar pukul 3.20 pagi, 18 Februari 2017. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain