suria

Mahkamah benar Sam Ke Ting tangguh hukuman, denda

Sam Ke Ting dibenar tangguh hukuman penjara 6 bulan.

KERANI wanita, Sam Ke Ting dibenarkan menangguh pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu.

Kebenaran itu diputuskan Mahkamah Rayuan pada Isnin.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Datuk P Ravinthran bersama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebulat suara membenarkan permohonan Ke Ting yang diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi basikal lajak: Jurujual wanita dipenjara 6 tahun, denda RM6,000 akibat kematian 8 remaja

Panel membenarkan wanita itu dilepaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, sekali gus menyebabkan kerani itu dibebaskan sementara dengan ikat jamin sehingga rayuan didengar.

Panel hakim membenarkan Ke Ting, 27, yang memakai baju kurung bewarna biru merayu terhadap hukuman itu di Mahkamah Rayuan.

Pada Rabu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 (atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda) terhadap Ke Ting, berkuat kuasa serta merta.

Dalam prosiding itu, Abu Bakar turut menolak permohonan wanita terbabit untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Pada 18 Febuari 2017, lapan remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun yang menunggang basikal lajak, maut dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.

Pada 28 Mac 2017, pemandu wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain