suria

Tiba-tiba hilang kawalan, pemandu Proton Wira rempuh penunggang basikal

Basikal mangsa tercampak selepas dirempuh kereta.

PEMANDU kereta jenis Proton Wira yang tiba-tiba hilang kawalan merempuh penunggang basikal selepas terbabas di Kilometer 15, Jalan Benta-Jerantut, Lipis di Pahang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Mohamad Awang, 66 dari Kampung Kemahang Benta di sini meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lipis.

ARTIKEL BERKAITAN: Rempuh MPV ketika turun bukit, penunggang basikal berusia 17 tahun cedera

Menurutnya, pemandu kereta, Mohd Yunus Harun, 62 dari Kampung Jeransang, Benta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai tukang kebun menunggang basikal dalam perjalanan dari arah Benta menghala ke Jerantut.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu penoreh getah (Mohd Yunus) dari arah Jerantut menghala ke Benta hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan melanggar mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Azli berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.42 petang ketika menerima rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain