suria

Pekerja bengkel langgar lari guna kereta pelanggan

Pasukan polis lakukan siasatan.

PEKERJA di sebuah bengkel kereta yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Ampang, Selangor melarikan diri selepas melanggar penunggang motosikal dari arah Gombak, pada Khamis.

Lelaki warga Pakistan itu memandu kereta jenis Proton Exora.

ARTIKEL BERKAITAN: Cubaan larikan Honda City, wanita disyaki lalok jahanamkan hampir 10 kereta... gigit mangsa rempuhan sebelum dikepung orang ramai

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 6 petang antara Proton Exora yang dipandu lelaki berumur 35 tahun itu dengan sebuah motosikal.

"Ketika kejadian penunggang motosikal yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 23 tahun tidak sempat mengelak apabila Proton Exora tersebut telah mengubah haluan masuk ke lorong kanan secara tiba-tiba," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, pelanggaran mengakibatkan mangsa yang merupakan operator di sebuah kilang tercampak ke tepi jalan serta cedera di tangan dan kaki.

"Pemandu Proton Exora itu kemudiannya meninggalkan lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, pemilik Proton Exora tampil membuat laporan polis sejurus mendapati kejadian tersebut tular di media sosial.

"Kenderaan miliknya itu sebelum ini telah dihantar ke bengkel kereta untuk dibaiki dan pemilik kenderaan tersebut mengesyaki kenderaannya itu diguna serta dipandu oleh pihak bengkel. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain