suria

Jemaah umrah tak puas hati menunggu lebih 5 jam di KLIA, ini penjelasan KJ

Menteri Kesihatan, Khairy Jalamuddin Abu Bakar. Foto: BERNAMA.

RAKAMAN memaparkan jemaah umrah yang tidak berpuas hati kerana terpaksa menunggu lebih lima jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tular pada Rabu lalu.

Ia sekaligus menimbulkan pertanyaan netizen mengenai kejadian sebenar yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki pulang menunaikan umrah positif Covid-19, 10 lagi individu turut dijangkiti

ARTIKEL BERKAITAN: 62 kes varian Omicron Covid-19 dikesan di Malaysia

Pada Khamis, Menteri Kesihatan, Khairy Jalamuddin Abu Bakar berkata, kekurangan kaunter untuk proses pemakaian peranti pengesanan digital pada waktu itu menjadi punca kira-kira 500 jemaah umrah terpaksa menunggu lama di KLIA.

Ujar Khairy, selepas melihat perkara tersebut, beliau membuat keputusan untuk mengeluarkan jemaah tersebut dan mewajibkan mereka memakai gelang pink.

“Dan saya telah maklumkan sehingga syarikat yang mengendalikan (peranti pengesanan digitial) tidak dapat buat (kaunter) dengan cepat, kita masih lagi akan guna gelang pink.

“Tetapi saya difahamkan hari ini atau esok, mereka akan tambahkan kaunter, jadi tidak akan ada masalah,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, pemakaian peranti pengesanan digital kepada jemaah yang pulang daripada Arab Saudi itu amat penting kerana kebanyakkan kes Covid-19 di negara ini yang melibatkan varian Omicron adalah daripada Makkah.

Justeru itu, menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa mengambil langkah berhati-hati bagi memastikan kes Covid-19 varian Omicron di negara ini tidak meningkat.

“Kita purata setiap hari ada 1,000 orang yang balik daripada Arab Saudi.

553 (5)

Beberapa sekatan baru mungkin akan diumumkan jika situasi kes Omicron dalam negara bertambah buruk.

“Kebanyakkan kes import Omicron di Malaysia yang kita dah ‘sample’ (kaji) adalah dari mereka yang pulang dari umrah.

“Sekarang ini saya difahamkan Arab Saudi pun sudah keluarkan kenyataan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, mereka akan jarakkan semula saf,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, beberapa sekatan baru mungkin akan diumumkan olehnya jika situasi kes Omicron dalam negara bertambah buruk.

Katanya, ia berikutan kadar kebolehjangkitan varian Omicron adalah lebih tinggi berbanding varian-varian sebelum ini.

“Apa yang saya tahu ialah sekiranya jangkitan kita meningkat, maka jumlah yang akan masuk ke hospital juga akan meningkat.

“Itu yang kita nak elak. Tekanan kepada sistem kesihatan kita sehingga hospital kita lumpuh.

“Senang kata, tidak ada katil lagi dah sebab cepat sangat (merebak) macam bulan Ogos lepas,” jelasnya. - Sinar Harian.

TONTON VIDEO PILIHAN!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain