suria

Hari-hari terakhir operasi banci dianggap kritikal... bersemuka atau online, DOSM siap sedia jejak 800,000 penduduk negara

DOSM berdepan pelbagai cabaran termasuk dikejar anjing, selain faktor cuaca dalam usaha mengumpul data bancian.

JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) kini dalam fasa akhir untuk menjejaki sekitar 800,000 penduduk termasuk gelandangan menjelang tarikh tutup operasi bancian penduduk pada Ahad ini iaitu tanggal 31 Oktober 2021.

Ketua Perangkawan dan Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, setakat 26 Oktober 2021, seramai 31.8 juta penduduk Malaysia telah dibanci iaitu 97.6 peratus daripada anggaran 32.6 juta penduduk pada tahun 2020.

ARTIKEL BERKAITAN : Kenapa kita perlu dibanci? Rupa-rupanya ini cara nak tahu info... senang kerajaan nak bantu rakyat

Sejumlah 9.4 juta atau 100.2 peratus daripada 9.4 juta anggaran tempat kediaman telah diliputi dalam Banci Malaysia manakala 7.7 juta atau 93.9 peratus daripada 8.2 juta isi rumah telah selesai dibanci.

uzir

Mohd Uzir berkata tempoh lima hari lagi menjelang 31 Oktober ini adalah tempoh kritikal bagi negara.

Menurut Mohd Uzir, selain tempat kediaman, operasi bancian turut meliputi tempat-tempat bukan kediaman seperti hospital, asrama jururawat, asrama di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institut keagamaan, rumah kebajikan, rumah orang tua, anak yatim, pusat jagaan, tahfiz bahkan juga penduduk dalam tahanan.

“Bagi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam pelaksanaan proses pembancian, pembancian bagi golongan gelandangan di Selangor, Kelantan, Sarawak dan Perlis telah diadakan pada 23 Oktober 2021.

“Pada 27 Oktober 2021 pula, DOSM Kuala Lumpur akan membuat pembancian terhadap gelandangan di Rumah Transit, Dang Wangi dan Anjung Singgah, Chow Kit,” katanya.



“No one left behind”, operasi bancian turut memberi tumpuan kepada golongan gelandangan dalam negara.

Operasi Banci di Kelantan, Johor dan Putrajaya hampir selesai dan sedang dalam proses pengabsahan dan menentusahkan maklumat.

Peratusan bancian penduduk paling rendah mengikut daerah di Semenanjung Malaysia dicatatkan di daerah Lipis (71.5 peratus), Bera (76.6p peratus), Maran (77.3 peratus), Kuala Krai (77.5 peratus) dan Rompin (peratus).

Manakala di Sarawak dan Sabah pula peratusan bancian paling rendah dicatatkan di daerah Telang Usan (38.4 peratus), Betong (39.9 peratus), Song (42.2 peratus) dan Belaga (47.1 peratus).



DOSM merangka pelbagai strategi bagi memastikan semua penduduk Malaysia diliputi dalam Banci Malaysia 2020.

Menurut Mohd Uzir, DOSM merangka pelbagai strategi bagi memastikan semua penduduk Malaysia diliputi dalam Banci Malaysia 2020 yang dimulakan pada 7 Julai 2020.

“Alhamdulillah, selaras dengan perkembangan kadar vaksinasi yang terus meningkat dan beberapa negeri telah beralih kepada Fasa 3 atau 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara, Banci bersemuka dan bersasar sedang berlangsung dan mopping week pada Oktober 2021.

“Banci bersemuka akan disesuaikan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan serta tertakluk kepada kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, data bancian yang diperoleh setakat ini menunjukkan 91.8 peratus penduduk Malaysia adalah warganegara manakala 8.2 peratus bukan warganegara.

“Penduduk Warganegara Malaysia terdiri daripada kumpulan etnik Bumiputera (69.4 peratus), Cina (23.1 peratus), India (6.7 peratus) dan lain-lain (0.8 peratus),” katanya.

Katanya, penduduk Melayu telah melebihi anggaran penduduk 2020 iaitu lebih 25,588 (+0.2 peratus) manakala etnik Cina dan India belum mencapai anggaran penduduk.

Dianggarkan 15,200 (0.2 peratus) Cina dan 83,148 (4.1 peratus) penduduk India masih belum dibanci.

Penduduk lelaki berada pada tahap 51.5 peratus berbanding penduduk perempuan dengan 48.5 peratus, menjadikan nisbah jantina adalah 106 orang lelaki bagi setiap 100 orang perempuan di Malaysia.

Data yang diperolehi juga menunjukkan 25.6 peratus penduduk adalah dalam kalangan umur muda (0 - 14 tahun), 69.1 peratus penduduk umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan 5.3 peratus penduduk berumur 65 tahun dan lebih.

Mohd Uzir bagaimanapun meminta pihak yang masih belum melakukan bancian untuk tampil melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Pelbagai halangan yang ditempuhi semasa pembancian seperti keadaan cuaca yang hujan, ancaman anjing liar dan kes tidak respon dari responden.

“Berilah kerjasama kepada pembanci yang melawat ke rumah anda dan berikan maklumat yang betul dan lengkap supaya data yang dihasilkan dapat memberikan gambaran sebenar kepada keperluan negara.

“Perkara ini penting bagi memastikan strategi pembangunan negara adalah berdasarkan maklumat tepat yang diperoleh daripada orang awam,” katanya.



Pembanci terpaksa mengharungi pelbagai cabaran demi memastikan setiap penduduk dibanci.

Katanya, beberapa hari terakhir ini merupakan waktu yang amat kritikal pada negara untuk memastikan dapatan Banci Malaysia 2020 ini menyeluruh dan komprehensif.

“Secara rangkumannya kita boleh katakan pembancian sehingga kini telah pun mencapai satu tahap yang amat membanggakan yang mana dalam tempoh beberapa hari yang berbaki, kita hanya ada baki lebih kurang 800,000 yang belum kita masukkan dalam sistem pembancian, jumlahnya lebih kurang 2.4 peratus daripada anggaran yang kita sasarkan.

“Jadi saya mengharapkan kepada semua yang masih belum menyertai pembancian ini dapat menghubungi pihak DOSM untuk kita hantar pembanci kita ataupun kita boleh buat follow-up secara dalam talian, supaya dapat tamatkan operasi kita mengikut jadual iaitu pada 31 Oktober ini,” katanya.



Pelbagai halangan yang ditempuhi semasa pembancian seperti keadaan cuaca yang hujan, ancaman anjing liar dan kes tidak respon dari responden.

Menurut Mohd Uzir, DOSM akan mengumumkan beberapa penemuan utama berdasarkan data operasi yang dikumpul pada 1 November ini.

“Kita nak sampaikan apakah hasil daripada data-data yang diperolehi dalam tempoh pembancian yang bermula 7 Julai, manakala data awal yang telah disemak secara sistematik akan mula kita ketengahkan bermula bulan Januari 2022.

“Jadi akan ada beberapa step, step pertama kita ketengahkan dahulu data-data utama dari segi headcount ataupun bilangan, pecahan lelaki perempuan, kohort umur, mengikut saiz isi rumah, tempat kediaman, mengikut kawasan-kawasan dan sebagainya akan kita umumkan pada 1 November.

“Tetapi data yang kita dah buat semakan dan juga validasi secara sistematik akan kita keluarkan pada bulan Januari dan selepas itu akan keluar pula data-data mengikut tema-tema tertentu, analisa mengenai pendidikan, kesihatan, keselamatan, kemudahan-kemudahan asas, fasiliti dan well-being,” katanya.

Menurut Mohd Uzair, DOSM akan berkolaborasi dengan penyelidik di universiti untuk memastikan data yang ada dapat menghasilkan kajian yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

“Kita sudah minta pihak universiti untuk kemukakan kertas cadangan kajian berdasarkan data daripada bancian ini.

“Pada 1 November nanti saya akan umumkan apakah strategi kita supaya data yang kita ada ini dapat beri value-added dengan menghasilkan kajian-kajian yang dapat dimanfaatkan terutama sekali oleh pihak berkepentingan, “katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain