suria

Budak 3 tahun dikesan kes indeks kluster Covid-19

Tujuh positif selepas berjangkit Covid-19 daripada seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

SEORANG kanak-kanak berusia tiga tahun dikenal pasti sebagai kes indeks kluster Covid-19 membabitkan sebuah taska di Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur.

Kementerian Kesihatan berkata, kanak-kanak perempuan tersebut disahkan positif Covid-19 pada Sabtu (23 Okt), selepas dia mula mengalami gejala pada 20 Okt.

ARTIKEL BERKAITAN : Terus meningkat... Malaysia catat 6,148 kes baharu Covid-19

Sebanyak 46 individu yang dikaitkan dengan kluster ini telah disaring dan setakat ini, hanya tujuh kes yang disahkan.

Kluster ini adalah satu daripada sembilan kluster baharu yang dilaporkan dalam kemas kini harian Covid-19 kementerian pada hari Rabu (27 Okt).

Enam daripada kluster baharu itu adalah kluster di tempat kerja, termasuk kluster kilang di Bangi, Selangor yang mempunyai 80 kes yang telah disahkan.

Terdapat juga satu kluster yang terdiri daripada pesakit dan pekerja sebuah pusat perubatan di Tanjung Rambutan, Perak.

Kluster tersebut mempunyai 24 kes yang telah disahkan setakat ini.

Terdapat juga kluster komuniti di Bachok, Kelantan dengan 12 kes telah disahkan.

Pada masa ini, terdapat 494 kluster Covid-19 yang aktif di seluruh negara.

Pada hari Rabu, Malaysia melaporkan 6,148 kes baharu dan 7,595 pulih.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kes baharu itu, 98.4% atau 6,047 adalah jangkitan ringan dan tanpa gejala.

“Sebanyak 101 kes lagi atau 1.6% adalah dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima,” kata Dr Noor Hisham.

Terdapat 21 kes import melibatkan 13 warga Malaysia dan lapan warga asing.

Secara kumulatif, Malaysia telah merekodkan sejumlah 2,448,372 kes Covid-19 sejak wabak itu bermula.

Jumlah kes yang telah pulih kini adalah sebanyak 2,347,985, iaitu pada kadar 95.9%.

Terdapat 563 pesakit di unit rawatan rapi, 495 daripadanya disahkan kes Covid-19 manakala 68 lagi disyaki.

Sejumlah 292 orang yang memerlukan bantuan ventilator. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain