suria

PRN Melaka: Sebarang himpunan, majlis sosial tak dibenarkan berkuat kuasa 25 Oktober hingga 27 November

Menurut Khairy, larangan itu mengambil kira situasi penularan kes Covid-19 ketika ini.

BAHANG pilihan raya di Melaka sudah mulai terasa sejak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PR) ditetapkan pada 20 November 2021.

Sehubungan itu, terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang penganjuran sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuklah majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya, berkuat kuasa pada 25 Oktober ini hingga 27 November depan kerana mengambil kira situasi penularan kes Covid-19 ketika ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun terdapat prosedur operasi standard (SOP) untuk pilihan raya negeri, ia hanya akan terpakai selama tempoh berkempen dari 8 November.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Covid-19 dijangka meningkat - KJ

"Apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan tidak dibenarkan.

"Semua pihak dikehendaki mematuhi peraturan, SOP dan arahan yang telah ditetapkan demi memastikan tiada penularan jangkitan Covid-19 selain dapat mencegah peningkatan kes dan kejadian kluster," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ujarnya, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Kenyataan Khairy itu menyusul selepas video dan gambar didakwa perhimpunan politik berkaitan PRN Melaka, tular di media sosial.

Hari penamaan calon untuk PRN Melaka adalah pada 8 November, dengan hari pengundian ditetapkan pada 20 November. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain