suria

Ku Li letak jawatan pengerusi jemaah Penasihat Umno

KU LI anggap jawatannya di dalam Umno tidak berpelembagaan. —The Star

TENGKU Razaleigh Hamzah memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi jemaah Penasihat Umno, berkuat kuasa pada 20 September 2021.

Menerusi satu surat ditujukan kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamid, Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu mendakwa, jawatan yang tidak berpelembagaan itu turut mempersoalkan kemampuan parti Melayu terbesar itu untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Sudah tentu pimpinan yang dipilih dan anggota kerajaan yang mengganti kerajaan ‘gagal’ telah direstui oleh pimpinan Umno, walaupun rata-rat orang ramai dan akar umbi parti menzahirkan kekecewaan mereka kerana hampir semua jawatan dipenuhi oleh mereka dari kalangan kerajaan ‘gagal’.

“Bolehkah mereka ini bantu parti kita tebus kekalahan dalam PRU15 dan akhiri Parlimen yang tergantung?

“Bolehkah kita bergantung harap kepada mereka ini memberi kemenangan kepada parti kita dalam PRU15 nanti,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid kerana memberikan peluang kepada beliau untuk memainkan peranan ‘kecil’ dalam parti itu.

Julai lalu, Ku Li memohon supaya tempat duduk beliau dalam Dewan Rakyat diletakkan berhampiran blok Bebas.

Dalam satu surat bertarikh 26 Julai kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, beliau memberi alasan memohon pertukaran tempat duduk kerana tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dari awal lagi saya tidak pernah menyokong atau bersama-sama dengan kerajaan yang ditubuh yang mengguna nama kerajaan Perikatan Nasional.

“Saya belum mengetahui sama ada anggota-anggota Dewan Rakyat yang lain daripada parti saya telah berurusan dengan YB Tuan Yang di-Pertua mengenai tempat duduk mereka dalam Dewan Rakyat.

“Walau apa pun yang dilakukan oleh mereka ini saya dengan suka hati mohon berpindah ke tempat lain yang sewajarnya, bersesuaian dengan semangat perjuangan Barisan Nasional/Umno terutama sekali pengundi saya, ahli-ahli Umno dan rakyat Malaysia supaya sedikit pun tidak boleh dianggap sebagai penyokong kerajaan gagal ini,” katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Ku Li, Zahid Hamidi, PRU15

Artikel Lain