suria

“Selepas 80 peratus rakyat divaksin barangkali agak selamat” - Tun M bincang tempoh sesuai adakan PRU15 ketika menghadap Agong

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media secara dalam talian selepas menghadap Agong.

TUN Dr Mahahir Mohamad mendedahkan beliau mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Khamis.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, cadangan tersebut dikemukakan kepada baginda kerana berkeyakinan ia mampu menyelesaikan beberapa masalah dihadapi negara termasuk pandemik Covid-19 serta impak penularannya kepada sektor ekonomi, politik serta sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir, Shafie dijadualkan menghadap Agong di Istana Negara hari ini

"Saya cadang Mageran kerana Mageran yang ditubuh dulu (tahun 1969) berjaya menangani masalah, msalah ketika itu masalah politik.

"Tun Razak jemput parti lawan sertai kerajaan, bekerjasama dengan kerajaan... dengan itu selesai masalah politik

"Saya berpendapat kali ini pun kita boleh lakuakn kerana kami (Pejuang) dah bincang mendalam masalah yang dihadapi negara dan tahu cara-cara untuk selesaikan masalah Covid-19, ekonomi dan kewangan, politik dan sosial.

"Kita ada idea tapi kalau kita di luar kerajaan atau tiada kuasa maka sukar untuk kita melaksana," kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media secara virtual selepas menghadap Al-Sultan Abdullah.

Tambah Dr Mahathir, soal siapa yang akan mengepalai Mageran tidak dibincangkan tetapi beliau menawarkan khidmatnya sekiranya diperlukan.

Dalam sidang media yang sama, Dr Mahathir ditanya pemberita mengenai perbincangan dengan Agong mengenai waktu sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum, memandangkan sebelum ini beliau berpendapat ia tidak sesuai diadakan pada tahun hadapan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut beliau, pilihan raya umum hanya selamat diadakan apabila mencapai imuniti kelompok, iaitu vaksin diberikan kepada 80 peratus rakyat di negara ini.

"Pada peringkat itu, barangkali ia agak selamat. Jika tidak, ia berbahaya... apa yang berlaku semasa pilihan raya di Sabah boleh berlaku lagi," katanya.

Dr Mahathir juga ditanya sama ada Agong bertitah mengenai kewajaran untuk Parlimen menyambung persidangan serta pelanjutan darurat semasa pertemuan sebentar tadi.

"Baginda tidak menentangnya (sidang parlimen) namun ia bergantung kepada kerajaan. Kerajaan akan buat keputusan.

"Terdapat juga perbincangan (mengenai Darurat) tetapi ia tidak sepenuhnya dibincangkan," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain