suria

Phillip Among minta dibicarakan, berdepan 5 tuduhan cabul kehormatan 2 wanita

Philip Among mengadakan sidang media pada Jun 3 untuk menafikan dakwaan mencabul seorang peserta Unduk Ngadau.

AHLI politik Philip Among dihadapkan dengan lima pertuduhan mencabul kehormatan dua wanita di Mahkamah Majistret di Kota Kinabalu, Sabah hari ini (Jun 10).

Among - yang diwakili peguam Marcel Jude mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.

Berdasarkan intipati kertas pertuduhan, Among dituduh menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan seorang wanita di sebuah penginapan pada pukul 11 malam, 17 April lalu.

Dia juga dituduh melakukan kesalahan yang sama terhadap individu kedua pada pukul 3.30 petang, 2 petang, 9.45 malam dan 10 malam pada 19 Mei, di lokasi berbeza.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 untuk setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan manakala 14, 21 dan 22 Julai depan ditetapkan sebagai tarikh bagi pengurusan kes pra perbicaraan.

Mahkamah juga mengarahkan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada pihak pendakwaan, dan tertuduh diarahkan untuk melapor diri di balai polis sebulan sekali.

Among juga dilarang daripada bercakap dengan mangsa atau saksi sehingga selesai kes.

Pada Selasa (8 Jun), polis mengatakan bahawa mereka telah menyelesaikan siasatan kes tersebut dan akan menyerahkan kertas siasatan ke pejabat Peguam Negara di sini untuk tindakan selanjutnya.

Seorang peserta Unduk Ngadau mendakwa dalam laporan polisnya pada 21 Mei bahawa ahli politik terbabit telah merabanya di dalam sebuah kereta pada 19 Mei selepas sesi penggambaran di Asia City di Kota Kinabalu.

Among merupakan pengarah teknikal untuk pertandingan Unduk Ngadau (Harves Queen) pada perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri baru-baru ini.

Pada 3 Jun, Among mengadakan sidang media di pejabatnya di Asia City di mana dia menafikan tuduhan itu dan mengatakan bahawa dia akan memfailkan saman terhadap peserta terbabit.

Bagaimanapun, dia ditahan polis sejurus selepas sidang media terbabit tamat.

Polis juga telah merakam kenyataan pekerjanya, Australia Dane Lenard Kovacs, yang mendakwa bahawa pasportnya dipegang secara paksaan oleh Among.

STAR Sabah juga telah menggantung Among, yang juga penyelaras parlimen Putatan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ends.

Artikel Lain