suria

Fokus untuk basmi Covid-19, kerajaan jamin adakan sidang Parlimen segera

Kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil apabila tiba masanya yang sesuai.

PENULARAN Covid-19 masih lagi merekodkan jumlah kes yang tinggi saban hari.

Namun begitu, kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera diadakan apabila tiba masanya.

Kata Menteri Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ia bagaimanapun bergantung kepada nasihat dan pandangan pakar terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil apabila tiba masanya yang sesuai sama ada sebelum ataupun selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos depan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, keutamaan kerajaan pada masa ini adalah terhadap usaha memastikan penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya termasuklah melindungi aspek kesihatan ahli Parlimen, pegawai-pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Kerajaan ingin menarik perhatian semua pihak bahawa langkah pengawalan dan pencegahan wabak merbahaya ini masih berterusan dengan seluruh jentera kerajaan memberi fokus terhadap tindakan imunisasi, rawatan, pengasingan dan juga pelan vaksinasi yang berterusan," katanya.

Beliau berkata, semasa tempoh penguatkuasaan, semua pihak termasuk pembangkang masih boleh menyalurkan sebarang pandangan kepada kerajaan melalui saluran-saluran yang dibenarkan, termasuklah melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Darurat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai hal-hal berkaitan kuat kuasa darurat.

"Dalam masa yang sama, tidaklah wajar wujud kesangsian atau syak wasangka berlakunya salah guna kuasa kerana sistem kerajaan berfungsi sebagaimana biasa termasuklah dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguat kuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira- kira Wang Awam (PAC)," katanya.

Justeru kata Takiyuddin, semua pihak diseru supaya memberikan sepenuh kerjasama kepada kerajaan dalam usaha giatnya demi memastikan survival hidup dan kehidupan rakyat melalui aspek-aspek kesihatan, ekonomi serta sosial. - Sinar Harian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain