suria

Cikgu didakwa buat gurauan jenayah rogol, Wan Azizah gesa pendedahan pelajar diberi perhatian

Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa KPM segera menyiasat dakwaan pelajar itu.

DAKWAAN seorang pelajar mengenai guru lelaki yang membuat gurauan mengenai jenayah rogol hangat diperkatakan netizen negara ini.

Malah, ia ternyata menimbulkan kemarahan awam sehingga ramai membuat tuntutan agar siasatan segera dilakukan.

Terbaharu, Ahli Parlimen Pandan, Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) segera menyiasat dakwaan mengenai kelakuan guru mata pelajaran pendidikan jasmani itu.

Ujar beliau, tindakan berani pelajar tersebut perlu diberi perhatian agar perkara seperti ini tidak berulang terutama di sekolah.

“Adalah tidak wajar juga apabila seorang guru lelaki menunjukkan akhlak yang sebegitu seolah-olah mengajar pelajar lelaki yang ada bersama-samanya ketika itu dengan bahasa lucah.

“Ini menunjukkan sikap tidak hormat kepada wanita apatah lagi membolehkan jenayah rogol walaupun dalam bentuk gurauan, ” katanya pada Ahad.

Seorang guru mata pelajaran pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan kerana seperti menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.

Dakwa seorang pelajarnya, kejadian itu berlaku pada Jumaat ketika sedang mengikuti mata pelajaran tersebut dengan seorang guru lelaki.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Tambah Wan Azizah, seorang yang bergelar lelaki perlu mempunyai rasa hormat kepada wanita sepertimana menghormati seorang ibu.

“Ada sebuah hadis yang panjang mengenai seorang pemuda yang mendampingi Rasulullah SAW pada suatu hari dan meminta izin untuk berzina.

“Betapa hikmahnya jawapan yang telah baginda Rasulullah SAW berikan iaitu dengan suatu pendekatan supaya timbul rasa hormat pemuda itu kepada mana-mana wanita yang dia ada keinginan untuk berzina.

“Menghormati mereka sepertimana dia menghormati seorang ibu, seorang anak perempuan, seorang saudara perempuan dan ibu saudara perempuannya dan ini akan mencegah pemuda itu daripada melakukannya, ” katanya. - Sinar Harian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain