suria

Ahli perniagaan pukul bodyguard kerana berpuasa didakwa lagi, berdepan empat pertuduhan

Selepas didakwa di Mahkamah Majistret Klang, Chee Yang didakwa pula di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat.

SELEPAS didakwa di Mahkamah Majistret Klang pada Khamis, ahli perniagaan yang menghadapi tuduhan memukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa, sekali lagi didakwa atas tuduhan sama pada Jumaat, namun kali ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Chung Chee Yang, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.

Mengikut semua pertuduhan, Chee Yang didakwa menyebabkan kecederaan kepada Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd Azminizam Zulkepli, yang berusia 44 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul pengawal peribadi kerana berpuasa, ahli perniagaan didakwa dengan lima pertuduhan

Kesemua kesalahan dilakukan di dalam lif dan lobi sebuah kondominium di Dang Wangi pada pukul 8.40 dan 8.43 malam, 13 April lalu.

Bagi setiap kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Ashikin Mokhtar mencadangkan Chee Yang dikenakan ikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan kerana kes berkenaan menyentuh isu sensitiviti agama dan masyarakat.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bagaimanapun peguam, Abdul Hakeem Aiman yang mewakili Chee Yang merayu agar kadar berkenaan dikurangkan atas faktor tahap kesihatan anak guam serta tanggungan keluarga.

Mohamad Fared kemudian membenarkan Chee Yang diikat jamin sebanyak RM10,000 dan menetapkan 2 Jun depan sebagai sebutan semula kes.

Pada Khamis, Chee Yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang atas lima pertuduhan iaitu mencederakan, melakukan ugutan menggunakan pistol dan mengeluarkan perkataan menghina agama Islam terhadap dua pengawal peribadinya dalam kejadian pada minggu lalu.

Kes tersebut yang tular minggu lalu mendapat kecaman ramai kerana menyentuh sensitiviti agama. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain