suria

Pukul pengawal peribadi kerana berpuasa, ahli perniagaan didakwa dengan lima pertuduhan

Ahli perniagaan, Chung Chee Yang didakwa dengan lima pertuduhan termasuk memukul dua pengawal peribadinya dan mengeluarkan perkataan menghina agama Islam.

SEORANG ahli perniagaan dan pembantu peribadinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pada Khamis atas tuduhan memukul dua lelaki yang juga pengawal peribadinya kerana berpuasa, minggu lalu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara pukul 10.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 April di luar sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Ahli perniagaan tersebut, Chung Chee Yang, 43, didakwa dengan lima pertuduhan termasuk memukul mangsa dan mengeluarkan perkataan menghina agama Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: Majikan didakwa pukul pengawal peribadi kerana berpuasa tampil mohon maaf

Mengikut pertuduhan pertama, Chee Yang didakwa mengeluarkan beberapa perkataan menghina agama Islam dan menghalang mangsa, Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dan Ahmad Shamsuri Zailani, 27, daripada berpuasa dengan kata-kata yang menyinggung kepercayaan agama mereka.

Dia didakwa di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

Bagi pertuduhan kedua, Chee Yang didakwa menyebabkan kecederaan pada Mohd Azminizam.

Sekiranya didapati bersalah atas kesalahan kedua, Chee Yang akan dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Dia juga didakwa di bawah Seksyen 506 kerana ugutan jenayah dan di bawah Seksyen 109 kerana bersubahat dengan pembantu peribadinya, Choo Hin Voon sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri.

Di bawah Seksyen 506, Chee Yang dituduh mengancam akan menyebabkan kecederaan kepada Mohd Azminizam dengan menggunakan sepucuk pistol.

Sekiranya didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu bagi dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 109, Chee Yang dituduh bersubahat dengan Hin Voon dengan mengarahkannya untuk sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri dengan menggunakan senjata iaitu sebatang rotan.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan jika didapati bersalah.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sementara itu tertuduh kedua, Vin Hoon, 43, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Azmizam dengan menggunakan rotan.

Dia menghadapi tuduhan kedua di bawah seksyen yang sama kerana menggunakan rotan untuk mencederakan Ahmad Shamsuri.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau hukuman sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P. Sarulatha, yang mengarahkan tertuduh pertama membayar ikat jamin RM50,000 untuk semua lima pertuduhan dan tertuduh kedua dikenakan ikat jamin RM20,000.

Mahkamah menetapkan 23 Jun ini untuk sebutan semula kes. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain