suria

Kompaun 6 pelajar matrikulasi dikurangkan, pengurusan kolej di Gopeng ditegur tidak pantau pematuhan SOP

Gambar yang tular di media sosial di mana pegawai KKM masuk ke kolej berkenaan untuk membuat pemeriksaan dan mengeluarkan kompuan kepada pelajar.

ENAM pelajar Kolej Matrikulasi Perak dekat Gopeng, yang dikenakan dikompaun oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kerana tidak memakai pelitup muka telah diberikan pengurangan kompaun.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, merujuk kepada kejadian tular yang berlaku di premis kolej tersebut pada pukul 3.45 petang 19 April, pelajar terbabit dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

"Ketika berada di lokasi tersebut, anggota bertugas mendapati ketidakpatuhan terhadap SOP berlaku dalam kalangan pelajar kolej iaitu tidak memakai pelitup muka, tidak memakai pelitup muka dengan lengkap dan gagal mengamalkan penjarakkan fizikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan pelajar matrikulasi dikompaun RM1,500 kini sedang dalam siasatan - Dr Noor Hisham

"Kompaun telah dikeluarkan pada masa tersebut ke atas enam pelajar dibawah Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya dalam satu kenyataan, petang Rabu.

Dr Lay Ming berkata, kejadian tersebut telah dimaklumkan oleh anggota bertugas kepada pihak pengurusan kolej pada hari yang sama setelah kompaun dikeluarkan.

"Pertemuan dengan pihak pengurusan kolej dan pelajar telah diadakan pada hari ini 20 April 2021 (Selasa) di Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

"Kesemua pelajar telah hadir mengemukakan rayuan dan pengurangan kompaun telah diberikan mengikut tatacara pengurangan kompaun sedia ada," ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, rayuan bagi pengurangan lanjut telah dikemukakan oleh pihak pengurusan kolej atas alasan pelajar tersebut adalah golongan berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membayar jumlah kompaun dikenakan.

"Sehubungan itu, kertas siasatan terhadap isu tersebut akan dibuka dan siasatan lanjut akan diadakan untuk pertimbangan pihak pengurusan KKM.

"Teguran tegas juga telah diberikan kepada pihak pengurusan kolej kerana tidak memastikan pematuhan SOP di premis berkenaan," ujarnya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meminta Jabatan Kesihatan Perak menyiasat aduan pelajar Kolej Matrikulasi Perak dekat Gopeng, dikompaun RM1,500 oleh KKM kerana tidak memakai pelitup muka.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab ciapan pengguna Twitter, @NabilAmirul4 yang mempertikaikan tindakan kompaun ke atas pelajar Kolej Matrikulasi Perak oleh pegawai KKM yang datang ke kafe kolej itu.

"Pelajar Matrikulasi Perak kena kurung sepanjang semester, tetapi KKM masuk kafe dan kompaun pelajar RM1,500. Elaun kami enam bulan pun hanya RM1,250," menurut ciapan pengguna Twitter terbabit.

Tindakan itu menjadi tular dan dipertikai kerana pelajar berkenaan dikatakan tinggal di kolej sejak lima bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar.

Difahamkan, pihak KKM datang ke kolej terbabit pada Ahad lalu disebabkan kes keracunan makanan di sebuah kafe di situ.

Bagaimanapun, mereka datang lagi pada keesokannya dan mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada beberapa pelajar yang tidak memakai pelitup muka atau meletakkannya di bawah dagu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain