suria

‘Gigger’, apa tu? Ketahui 4 punca rezeki era ekonomi gig... Jangan alpa jom kongsi hasil, hanya lapor dan bayar cukai

Antara pekerjaan bebas dalam ekonomi gig seperti penghantar makanan.

DENGAN norma baharu akibat pandemik Covid-19, semakin ramai yang beralih kepada pekerjaan lebih fleksibel.

Malah, ia dilihat mampu menjana banyak pendapatan berbanding beberapa sektor lain.

Ekonomi gig merupakan pekerjaan yang berasaskan kontrak jangka pendek dan pekerjaan bebas dengan disokong oleh aplikasi teknologi.

Ia juga didefinisikan sebagai ekonomi perkongsian (Sharing Economy), ekonomi digital (Digital Economy), ekonomi kolaboratif (Collaborative Economy), ekonomi berasaskan masyarakat (Crowd Economy) dan ekonomi rakan sebaya (Peer Economy) yang merujuk kepada permintaan dan penawaran perkhidmatan jangka pendek atau berdasarkan tugas.

Ekonomi berkembang

Percaya atau tidak, Malaysia kini mempunyai kira-kira empat juta pekerja sambilan atau freelancer dan jumlahnya semakin meningkat dari hari ke hari.

Nampaknya kepesatan teknologi telah membuka ruang yang lebih luas kepada pekerjaan yang berorientasikan gig untuk diakses oleh kebanyakan individu.

Ekonomi gig ini adalah sebuah model ekonomi yang bergantung kepada pekerja bebas untuk operasi sesebuah perniagaan.

Mereka yang bekerja dalam sektor ini biasanya dipanggil freelancer atau gigger. Perkhidmatan yang ditawarkan adalah berasaskan kemahiran atau kehendak sama ada secara kontrak jangka masa pendek, pekerjaan bebas atau fleksibel dengan disokong oleh aplikasi teknologi.

Penerimaannya di Malaysia menunjukkan satu perkembangan positif dan mampu menyumbang peratusan terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.



Ekonomi gig seharusnya dapat menyumbang hasil negara melalui percukaian untuk manfaat rakyat bersama.

Anak muda

Penyertaan yang lebih mudah untuk mencari rezeki menjadikan ekonomi gig semakin mendapat perhatian dalam kalangan anak muda.

Tambahan pula sebahagian daripada mereka terjejas dengan pandemik Covid-19, sama ada diberhenti kerja atau sukar mencari pendapatan yang menyebabkan ramai menganggur.

Justeru, platform ekonomi gig menjadi tumpuan terutama generasi muda dengan menjadikan platform seperti Grab dan Foodpanda sebagai pilihan mereka untuk menyara kehidupan.

Maka tidak hairanlah kerajaan akan memberi tumpuan khas kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025.

Trend meningkat

Trend ekonomi gig meningkat kerana ia bukan sahaja tertumpu kepada anak muda, bahkan golongan suri rumah, pesara dan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk menjana pendapatan.

Terdapat tiga komponen utama dalam ekonomi gig. Pertama, pekerja bebas dibayar berasaskan tugas tertentu. Kedua, pelanggan mahu perkhidmatan spesifik.

Sementara itu, yang ketiga adalah syarikat membina medium antara pekerja bebas dengan pelanggan menggunakan platform aplikasi teknologi seperti Grabfood, Foodpanda, TaskRabbit, BungkusIt serta perkhidmatan seru-pandu seperti Grab dan MyCar.



Pendapatan sebagai pemandu GrabCar juga boleh dikenakan cukai pendapatan sekiranya memenuhi syarat.

Walaupun tiada garis panduan yang khusus mengenai perincian pekerjaan dalam ekonomi gig, namun ia boleh disimpulkan kepada beberapa ciri berkenaan:

1. Sistem kerja tanpa kontrak.

Pekerja tidak terikat dengan satu syarikat atau satu pekerjaan tertentu. Seseorang itu boleh bekerja di tiga syarikat sekali gus atau lebih tanpa batasan di era digital.

2. Pekerja mempunyai masa fleksibel tanpa terikat dengan waktu normal bekerja.

Pekerja bebas bekerja pada bila-bila masa asalkan kerja dibuat boleh diselesaikan pada waktu yang dipersetujui.

3. Penghasilan lebih daripada satu.

Tidak hairan apabila generasi milenial ini boleh menghasilkan pendapatan lebih lumayan malah pendapatan mereka boleh mencecah ratusan ribu ringgit berbanding mereka yang telah lama bekerja di syarikat. Ini disebabkan era ekonomi gig membolehkan mereka bekerja di beberapa tempat tanpa terikat dengan peraturan tertentu.

4. Bebas menyelesaikan pekerjaan.

Cara bekerja adalah santai dan ia boleh diselesaikan pada waktu yang ditentukan. Dengan cara ini, seseorang itu dapat mengurangkan tekanan emosi dan stress. Kebebasan bekerja mungkin menjadi ciri utama mereka memilih menjadi pekerja yang bekerja bebas (freelancer) atau bekerja sendiri (self-employed).

Pengenaan cukai

Industri akan terus berkembang dengan adanya ekonomi gig yang menguasai pasaran dan memperoleh keuntungan tinggi.

Pada masa sama, ekonomi gig seharusnya dapat menyumbang hasil negara melalui percukaian untuk manfaat rakyat bersama.

Hari ini menyaksikan semakin ramai yang terlibat dengan ekonomi gig kerana mahukan kebebasan dalam bekerja.

Ekonomi gig juga membuka ruang yang lebih besar kepada perkembangan ekonomi rakyat Malaysia dan negara kerana ia memberi peluang pekerjaan kepada ramai rakyat yang terjejas akibat pandemik covid-19.

Kebanyakan mereka yang terkesan dengan situasi ini telah beralih kepada ekonomi gig dengan membuat kerja separuh masa untuk menambah pendapatan seperti menjadi pemandu Grab, bekerja sebagai penghantar makanan, terlibat dengan perniagaan dalam talian dan banyak lagi.

Pasti ramai yang tertanya-tanya, adakah golongan yang bekerja separuh masa seperti ini perlu melaporkan pendapatan tersebut kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Secara asasnya, ia bergantung kepada kekerapan kerja separuh masa itu dilakukan. Jika pekerjaan tersebut dilakukan satu atau dua kali sahaja, mereka boleh menggunakan borang BE untuk melaporkan pendapatan. Pendapatan yang diterima daripada pekerjaan separuh masa atau part time tersebut perlu diisi dalam bahagian pendapatan lain.

Bagaimanapun, jika pekerjaan separuh masa tersebut dilakukan secara kerap seperti dilakukan setiap bulan, maka ia lebih kepada model perniagaan, maka perlu melaporkan pendapatan menggunakan borang B (Individu Berpendapatan Perniagaan).

Bagi kategori borang B ini contohnya perniagaan dalam talian, pembelian barang dan kos perbelanjaan bagi penghantaran barang adalah dibenarkan tuntutannya sebagai pelepasan cukai.



Kekerapan pekerjaan yang dilakukan menentukan jenis Borang Nyata ketika melapor pendapatan kepada LHDNM.

Sehubungan itu, apa sahaja pekerjaan yang menghasilkan pendapatan termasuklah pekerjaan dalam ekonomi gig perlu dilaporkan kepada LHDNM bagi tujuan cukai pendapatan.

Menerusi cukai pendapatan, pembangunan negara bukan sahaja dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, ia juga membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup terutama mereka yang kehilangan punca pendapatan secara tiba-tiba.

Sehubungan itu, cukai pendapatan bukan sahaja amalan berkongsi rezeki, tetapi juga menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai dan melaporkan pendapatan tahunan.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui Borang Maklumbalas Pelanggan atau hubungi HASiL Care Line di 03-8911 1000.

Maklumat lanjut percukaian boleh diperolehi di www.hasil.gov.my. Sumbangan anda jaminan kemakmuran negara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain