suria

Mengaku tolak isteri dari tingkat 18 selepas bertengkar, lelaki direman 6 hari

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditolak suaminya dari tingkat 18.

POLIS menahan seorang lelaki berusia 34 tahun selepas suspek mengaku menolak isterinya melalui tingkap dari tingkat 18 sebuah kondominium di Ayer Itam, Georgetown.

Dalam kejadian tengah malam Sabtu di Bukit Awana Kondominium, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima panggilan mengenai seorang wanita terjatuh dari sebuah kondominium di Ayer Itam kira-kira jam 12.06 tengah malam.

"Bahagian makmal forensik (D10) dari ibu pejabat polis Pulau Pinang bersama-sama dengan unit K9 bergegas ke tempat kejadian.

"Siasatan menunjukkan bahawa mangsa, ejen insurans berusia 35 tahun, adalah isteri suspek," ujarnya.

Soffian berkata berdasarkan soal siasat terhadap lelaki tersebut, suspek mengaku menolak isterinya keluar dari tingkap di ruang tamu setelah bertengkar dengan wanita berkenaan.

"Lelaki itu curiga dan mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

"Mereka telah berkahwin selama kira-kira satu tahun tetapi tidak mempunyai anak," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Soffian berkata polis menahan suspek dan merampas dua telefon bimbit, satu botol berisi ketulan kristal dipercayai dadah dan satu beg plastik berisi daun kering dipercayai ganja.

"Suspek juga didapati positif dadah jenis ganja. Proses bedah siasat dilakukan di Hospital Pulau Pinang pada 10 April.

"Punca kematian disebabkan kecederaan akibat impak jatuh dari tempat tinggi" katanya.

Suspek akan direman selama enam hari sehingga 15 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain