suria

Tiada maklumat kebenaran khas rombongan Ebit Lew, kawasan TTS ditutup kerana PKP

Ebit bersedih kerana tidak dapat meneruskan misi bantuannya di pulau-pulau di Semporna, Sabah. foto facebook Ebit Lew

RENTETAN isu pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew tidak dibenarkan meneruskan misi bantuan kemanusiaan di kawasan pulau-pulau di Semporna, Taman-Taman Sabah (TTS) tampil memberikan penjelasan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook TTS pada Rabu, ia tidak menerima makluman awal daripada rombongan Ebit untuk kebenaran khas memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.

Menurut TTS, seperti yang telah dimaklumkan di media sosial pada 12 Januari lalu bahawa seluruh kawasan TTS ditutup sementara kepada orang awam bermula 13 Januari 2021 selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew sayu... boleh dihukum denda RM100,000, penjara 3 tahun jika teruskan misi bantuan di Semporna - "Saya minta maaf"

ARTIKEL BERKAITAN: Polis, Esscom tak keluar arahan henti program Ebit Lew

"Rombongan Ebit merupakan rombongan orang awam yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) PKP dan pada masa yang sama pihak TTS tidak menerima makluman awal untuk kebenaran khas memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.

"Selain itu, pembinaan struktur bangunan di dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran juga tertakluk kepada prosedur dan garis panduan yang telah ditetapkan.

"Perkara ini berkaitan dengan kepentingan komuniti penuntut hak waris di pulau-pulau ini seperti yang terkandung dalam Surat Pewartaan Taman Marin Tun Sakaran tahun 2004," kata kenyataan itu di Facebook TTS.

Kenyataan itu turut berkata, pihak TTS membenarkan rombongan Ebit memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran hanya setelah mendapat makluman daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pihak TTS sangat menyokong usaha murni bantuan prihatin yang disalurkan kepada komuniti di dalam semua Taman di seluruh Sabah.

"Kebenaran khas diperlukan untuk memasuki mana-mana kawasan Taman yang kini ditutup kepada orang awam sepanjang tempoh PKP," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak pengurusan TTS juga amat menghargai pendirian dan ketegasan pegawai dan renjer Taman di Taman Marin Tun Sakaran yang berdedikasi dalam melaksanakan tugas mereka melindungi kawasan Taman yang kini dalam fasa rekuperasi atau kerehatan daripada gangguan pelancong dan pelawat taman.

"Perlindungan dan pemuliharaan alam semulajadi taman di seluruh TTS akan tetap diteruskan termasuk semasa tempoh Pelaksanaan PKP pandemik Covid-19 dan tempoh perintah berkurung di seluruh negara," katanya.

Terdahulu, pihak TTS mengeluarkan kenyataan itu susulan daripada aduan dan kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial bernama Ebit Liew pada Selasa dan pihak TTS mendapati kawasan pulau-pulau di Semporna yang dimaksudkan oleh beliau adalah kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.

Ebit dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebooknya mendakwa tidak dibenarkan masuk ke pulau-pulau di Semporna dan diminta untuk menghentikan bantuan selain memaklumkan bahawa beliau boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Ismail Kijo meninggal dunia

Artikel Berikut

Artikel Lain