suria

Kes rasuah: Isa Samad didapati bersalah atas 9 tuduhan bernilai RM3 juta

Mohd Isa didapati bersalah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rabu. foto KAMARUL ARIFFIN/The Star

BEKAS Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, Rabu, atas sembilan tuduhan rasuah RM3 juta membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Mohd Isa, 72, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain