suria

Rancangan pelaksanaan dasar kawalan harga ubat turut ambil kira pandangan awam

KKM dengan bantuan MPC sedang melakukan Analisis Kos-Manfaat (CBA) untuk menganalisis kos dan manfaat pelaksanaan kawalan harga ubat,

USAHA untuk memperkenalkan satu dasar bagi menyediakan ubat ubatan dengan harga berpatutan kepada rakyat sedang dirangka oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan bantuan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, sesi dengan pihak berkepentingan mengenai cadangan kawalan harga ubat ini telah pun diadakan secara meluas dari Februari hingga November 2019.

"Dalam usaha mempromosikan Amalan Baik Peraturan (GRP) untuk mencipta persekitaran perniagaan yang lebih kompetitif, kami membantu KKM dalam mengusulkan pelaksanaan mekanisme kawalan harga ubat bagi menguruskan harga farmaseutikal, yang mana objektif utamanya diselaraskan dengan Dasar Ubat Nasional (DUNas).

"Ketika ini, KKM dengan bantuan MPC sedang melakukan Analisis Kos-Manfaat (CBA) untuk menganalisis kos dan manfaat pelaksanaan kawalan harga ubat," katanya.

Abdul Latif Abu Seman.

Abdul Latif berkata orang awam, pemain industri farmaseutikal, penyedia penjagaan kesihatan, penyedia penjagaan insurans dan pihak lain yang berminat dijemput untuk memberikan input dan maklum balas bertulis mengenai kesan pelaksanaan dasar ini melalui portal Unified Public Consultation (UPC) di upc.mpc.gov.my bermula 4 hingga 18 Januari 2021.

MPC mengharapkan komitmen daripada orang ramai dan sektor swasta pada sesi perundingan ini, untuk memberikan maklum balas dan input bagi membolehkan penggubal dasar membuat keputusan yang lebih baik untuk mencapai objektif dasar awam tanpa memperlahankan produktiviti, pertumbuhan ekonomi, inovasi, daya saing, dan penciptaan pekerjaan.

MPC membantu KKM dalam mengusulkan pelaksanaan mekanisme kawalan harga ubat bagi menguruskan harga farmaseutikal

Dalam pada itu, tiga sesi rundingan khas secara online juga telah diadakan bagi memberi penjelasan mengenai CBA dan cadangan pelaksanaan kawalan ubat.

Sesi pertama melibatkan orang awam dan pihak yang berminat telah dibuat pada Isnin, disusuli pemain industri farmaseutikal pada Selasa.

Sesi ketiga yang dijalankan pada Rabu melibatkan penyedia perkhidmatan kesihatan seperti hospital swasta, klinik dan lain-lain.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

MPC, Abdul Latif Abu Seman, ubat, GRP, DUNas,

Artikel Lain