suria

Kes Covid-19 meningkat, banjir teruk di beberapa negeri... bukan masa sesuai untuk PRU15 - PAS

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyuarakan pendapat mengenai gesaan beberapa pihak yang mahu PRU15 segera diadakan.

SEJAK kebelakangan ini, khabar angin mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan dalam tempoh terdekat, bertiup begitu kencang.

Perkara berkenaan mendapat reaksi yang pelbagai, namun rata-ratanya berpendapat ia masih belum sesuai memandangkan negara sedang bergelut mengekang penularan pandemik Covid-19.

Pandangan yang senada turut disuarakan oleh PAS, sambil menambah, selain peningkatan kes Covid-19 yang tidak terkawal sejak kebelakangan ini, negara juga sedang dilanda bencana banjir di beberapa negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes saman Hadi Awang-Editor Sarawak Report diselesai luar mahkamah

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan perlu menyelesaikan pandemik Covid-19 terlebih dahulu sebelum membubarkan Parlimen dan memberi laluan kepada PRU15 bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, tindakan pihak tertentu yang mendesak supaya menyegerakan pilihan raya umum adalah tidak wajar di saat negara sedang berdepan dengan penambahan ketara kes Covid-19.

"Biar selesai Covid-19 dan banjir dulu, takkan (buat PRU) masa banjir dan Covid-19 tengah merebak lagi. Kita kena bincang dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan pihak berkenaan.

"Kita tidak mahu membebankan rakyat,"katanya dipetik Sinar Harian.

Mengulas mengenai saranan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak kukuh dan pergeseran antara Umno dan Bersatu, Abdul Hadi bertegas untuk menguatkan PN.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PN yang dibina bersama Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan roboh sebaliknya akan terus diperkukuhkan dan dipertahankan.

"Kita mahu kukuhkan lagi PN, dan Umno belum membuat keputusan muktamad. Ia tidak boleh melalui bahagian dan ahli biasa, mereka ada MT (Majlis Tertinggi), ada biro politik dan ada perhimpunan agung.

"Kami tidak mahu campur, ia (pergeseran Umno dan Bersatu) akan diurus dengan baik insyaAllah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain