suria

Kes saman Hadi Awang-Editor Sarawak Report diselesai luar mahkamah

PRESIDEN PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menyelesaikan kes saman terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown di luar mahkamah.

Setiausaha Politik Presiden PAS Syahir Sulaiman dalam satu kenyataan berkata perkara itu diputuskan Abdul Hadi setelah meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang telah difailkan terhadap Rewcastle-Brown dari semua aspek selain mempertimbang pandangan serta nasihat peguam beliau.

"Adalah dimaklumkan bahawa YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah membuat ketetapan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah melalui Perintah Persetujuan (Consent Order) bertarikh 1 Februari 2019 di Mahkamah Tinggi London (High Court of Justice, Queen's Bench Division)," katanya.

Beliau berkata penyelesaian itu melibatkan Abdul Hadi menarik balik tuntutan  terhadap defendan iaitu Rewcastle-Brown serta defendan menarik balik tuntutan balas  terhadap Presiden PAS berkenaan.

Penyelesaian itu juga melibatkan tiada perintah berkenaan kos (no order as to costs) dan kedua-dua pihak adalah tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian itu.

Syahir berkata Abdul Hadi turut mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam, anggota PAS dan semua pihak yang telah memberikan sumbangan dan sokongan sepanjang perjalanan kes tersebut.

Prosiding fitnah itu difailkan pada 21 April 2017 bagi mendapatkan ganti rugi dan suatu perintah injunksi berikutan penyiaran satu artikel fitnah dalam laman web Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.-- Bernama

Hadi Awang, Clare, saman

Artikel Lain