BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat yakin inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dapat menangani rasuah politik di seluruh negara. Menurut Tengku Putra, dengan mengadaptasi pelan ini maka ia kesempatan terbaik dalam usaha Umno untuk mengubah tanggapan dan memperbetulkan persepsi umum terhadap amalan dalam parti selama ini. "Kami menyambut baik sokongan Umno terhadap inisiatif NACP kerajaan yang di wakili Datuk Seri Mohamed Hassan di majlis bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed. "Jika sokongan Umno terhadap NACP ini dapat di terjemahkan di dalam perbuatan dengan membenarkan SPRM mengambil tindakan terhadap mereka yang di dapati bersalah oleh Lembaga Disiplin, kami yakin bahawa rasuah politik dapat di benteras sama sekali dan hanya pemimpin-pemimpin yang bersih dan berwibawa sahaja akan dinaikkan di dalam parti," jelasnya dalam kenyataan pada Sabtu. Tambah Tengku Putra, inisiatif ini akan menjadi suatu mercu tanda di bawah kepimpinan presiden Umno yang mempamerkan keikhlasan dan ketegasan dalam niatnya untuk membenteras rasuah yang selama ini diamalkan di semua peringkat setiap kali berlakunya pemilihan didalam parti. "Lembaga Jawatankuasa Disiplin Umno boleh meneliti saranan-saranan yang terkandung dalam NACP tersebut sebagai rujukan untuk menangani budaya politik wang secara lebih serius. "Kalau tiada tangan yang memberi maka tiadalah yang akan menerima. "Jika hukuman penjara dijadikan sebagai pertaruhan, InsyaAllah rasuah politik dan budaya Warlord didalam Umno akan dapat dihapuskan dengan lebih cepat dan tepat," katanya.