suria

Bomoh turut bantu cari Valtteri yang hilang di Pulau Tioman

DSP Azli Mohd Noor menunjukkan gambar mangsa hilang Nikitin Aleksis Elus Valtteri.

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelancong warga Finland yang hilang di Pulau Tioman sejak 11 hari lalu terus menemui jalan buntu tanpa sebarang petunjuk baharu selepas dia dilaporkan hilang bermula 23 Jan lalu.

Keadaan itu menyebabkan penduduk pulau mengambil inisiatif membantu pasukan SAR mencari dengan cara alternatif iaitu mengggunakan khidmat bomoh bagi mencari mangsa yang dipercayai masih berada di kawasan Kampung Paya, Pulau Tioman.

Tinjauan Bernama di Pulau Tioman mendapati operasi giat dilakukan sejak awal pagi oleh seramai 68 anggota dan pegawai daripada Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam dengan dibantu oleh tiga ekor anjing pengesan.

Bagaimanapun pada jam lebih kurang 3 petang tadi sekumpulan penduduk kampung dengan diketuai oleh seorang lelaki dipercayai bomoh turut masuk ke kawasan hutan berhampiran Paya Beach Resort bagi membantu pencarian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azli Mohd Noor berkata walaupun tidak menemui sebarang petunjuk, pihaknya yakin mangsa Nikitin Aleksis Elus Valtteri, 20 masih berada di pulau peranginan berkenaan.

"Saya tidak fikir mangsa keluar dari pulau kerana barang-barang kepunyaan mangsa masih berada di rumah yang ditumpangi sebelum ini iaitu pasport, visa card, pakaian dan wang berjumlah RM6,000.

"Turut ditemui di dalam beg mangsa ialah sekeping tiket penerbangan dari Kuala lumpur ke Doha pada 23 Mac," katanya kepada Bernama selepas mengetuai operasi berkenaan pada Jumaat.

Menurutnya berdasarkan siasatan yang dilakukan imej mangsa kali terakhir berjaya dikesan menerusi rakaman litar tertutup yang dipasang di resort berhampiran pada jam lebih kurang 7 pagi hingga 8.30  pagi pada 22 Januari.

Siasatan mendapati mangsa tiba di Malaysia pada 18 Jan lalu dan memasuki Pulau Tioman pada 21 Jan sebelum dilaporkan hilang sehari selepas itu.Azli berkata operasi pencarian telah merangkumi lebih 10 kilometer persegi melibatkan kampung Tekek, Kampung Juara, Kampung Paya dan Kampung Gemilang.

Warga Finland, hilang, tioman

Artikel Lain