suria

4 lagi korban Covid-19, Malaysia catat 1,371 kes baharu

Sehingga hari ini, 1,204 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 70,597 kes keseluruhan pulih di Malaysia. .Foto:MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 1,371 kes baharu, menjadikan keseluruhan 84,846 kes setakat Isnin.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat hanya satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan selebihnya merupakan penularan tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Top Glove sahkan kematian pekerja lelaki akibat komplikasi Covid-19

Negeri Selangor masih kekal melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 532 kes, diikuti oleh negeri Sabah sebanyak 283 kes, dan Negeri Sembilan sebanyak 260 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, empat kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 419 kematian.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan empat kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 419kes," ujarnya menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Isnin petang.

Sehingga hari ini, 1,204 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 70,597 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, 114 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Berikut perincian kes kematian hari ini:

1) Perempuan warganegara, usia 40, meninggal di Hospital Labuan dengan latar belakang sakit kencing manis.

2) Perempuan warganegara, usia 50, jenazah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, dan dislipidemia.

3) Perempuan warganegara, usia 46, meninggal di Hospital Tawau dan mempunyai penyakit darah tinggi, dan dislipidemia.

4) Lelaki bukan warganegara, usia 54, meninggal di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain