suria

Mangsa banjir mohon kerajaan sediakan kemudahan internet di pusat pemindahan sementara

Seramai 252 mangsa banjir daripada 92 keluarga ditempatkan di empat PPS iaitu di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), Kerian serta Hilir Perak setakat 5 petang, Sabtu. fotoBERNAMA.

SESI pembelajaran terjejas.

Begitulah luahan pelajar tingkatan lima Helmi Hakimi Mat Razali, 17, yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim, Matang, Taiping, Perak bersama keluarganya selepas rumah mereka di Kampung Jebong Kiri terjejas akibat banjir kilat pada Sabtu.

Ujarnya, dia memohon Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim, Matang di sini bersama keluarganya selepas rumah mereka di Kampung Jebong Kiri terjejas akibat banjir kilat hari ini.

Kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang itu, dia perlu menyertai kelas aliran Grafik Komunikasi Teknikal secara dalam talian bermula 8 pagi sehingga 1 tengah hari pada hari persekolahan.

“Saya harap ada kemudahan untuk pelajar seperti saya menyertai kelas secara dalam talian kerana saya akan direkodkan sebagai tidak hadir sekiranya tidak menyertai sesi pembelajaran malah boleh menyebabkan saya diberhentikan sekolah, ” katanya kepada pemberita di PPS itu hari ini.

Mengakui liputan Internet agak perlahan di pusat itu, Helmi Hakimi berkata dia terpaksa melanggan dua pakej membabitkan kos yang tinggi semata-mata untuk mendapatkan rangkaian Internet untuk berkomunikasi.

Bagaimanapun, anak bongsu daripada lima beradik itu bersyukur kerana mendapat bantuan bekalan makanan dan tempat untuk berlindung di pusat tersebut ketika ditimpa musibah memandangkan ini kali pertama keluarganya ditempatkan di PPS selepas rumah mereka dilanda banjir buat julung kalinya.

Seorang lagi pelajar aliran seni dari sekolah sama yang turut ditempatkan di PPS itu, Siti Nor Yasmin Mohd Fadziey, 17, berkata beliau menggunakan telefon bimbit untuk mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

“Saya dipindahkan bersama ibu dan tiga adik yang lain ke sini mulai semalam selepas rumah kami di Kampung Teluk Kertang dilanda banjir dan saya bimbang tidak dapat fokus belajar pada hari Isnin nanti kerana suasana agak bising apabila duduk dalam ruang khemah kubikel yang disediakan.

“Saya tidak pasti bila kami boleh pulang ke rumah kerana air banjir sentiasa naik semula selepas ia surut, jadi diharapkan ada ruangan khusus disediakan untuk kemudahan pelajar seperti saya, ” katanya.

Pekerja kilang Rozzana Mohamad Ali, 31, pula berkata selain Internet, kerajaan diharap dapat menyediakan kemudahan mesin cetak kerana dia terpaksa mencari kedai untuk mencetak latihan yang diberikan guru kepada anaknya yang masih belajar di sekolah rendah.

Ibu kepada tiga anak berusia lingkungan tiga hingga 10 tahun itu berkata beliau tidak perlu meninggalkan mereka di PPS untuk mencari kedai yang menyediakan khidmat mesin cetak jika perkhidmatan itu disediakan di pusat tersebut.

“Ia juga dapat bantu mengehadkan pergerakan mangsa banjir lebih-lebih lagi dalam keadaan penularan wabak COVID-19 ini selain cuaca sering hujan, ” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Badan Bukan Kerajaan dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria berkata pihaknya bercadang menyediakan kemudahan Internet di PPS dalam negeri itu supaya pembelajaran murid tidak terganggu. “Kita tidak mahu murid yang dipindahkan (ke PPS) ketinggalan dalam pelajaran berbanding mereka yang mempunyai kemudahan peralatan telekomunikasi di rumah, ” katanya.

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata seramai 252 mangsa banjir daripada 92 keluarga ditempatkan di empat PPS iaitu di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), Kerian serta Hilir Perak setakat 5 petang, Sabtu.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain