suria

PM perjelas 5 sebab perlu isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi, batal PRK 5 Disember ini

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan Perutusan Khas mengenai Parlimen Batu Sapi, pada petang Rabu.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi penjelasan bersabit tindakan jemaah menteri membuat keputusan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi.

Menerusi Perutusan Khas Perdana Menteri Mengenai PRK Batu Sapi yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen pada lewat petang Rabu, Muhyiddin menggariskan lima sebab mengapa jemaah menteri yang bermesyuarat pada 13 November lalu, mengambil pertimbangan sedemikian.

ARTIKEL BERKAITAN: Istana Negara: Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi

"Pertamanya ialah faktor ancaman terhadap kesihatan awam. Pengalaman Pilihan Raya Umum Negeri Sabah menunjukkan bahawa pilihan raya yang diadakan ketika Covid-19 sedang melanda menjadi punca penularan gelombang ketiga wabak ini di dalam komuniti.

"Walaupun SOP yang ketat boleh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun pematuhan kepada SOP didapati amat lemah sehingga menyebabkan wabak ini sukar dibendung.

"Kedua, pihak SPR menghadapi kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya disebabkan kebimbangan yang tinggi dalam kalangan petugas bahawa mereka sendiri berkemungkinan terkena jangkitan Covid-19 ketika bertugas," katanya.

Faktor ketiga, menurut Muhyiddin, pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan dan ini akan meningkatkan risiko penularan Covid-19 ke daerah-daerah lain di negeri Sabah.

Kerajaan juga katanya, bimbang mengenai risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan pengundi di Batu Sapi, terutamanya warga emas yang juga golongan berisiko tinggi.

"Daripada 32,962 pengundi berdaftar bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, seramai 7,377 orang atau 22.3 peratus adalah pengundi berumur 60 tahun ke atas.

"Jika pilihan raya diadakan dan mereka keluar mengundi atau mengikuti aktiviti kempen pilihan raya, tiada jaminan bahawa mereka tidak akan terkena jangkitan Covid-19 yang boleh membawa maut.

"Kelima ialah kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi dan Daerah Sandakan sekiranya penularan Covid-19 berlaku secara mendadak selepas pilihan raya kecil diadakan.

"Pada masa ini pun, kesan ekonomi telah amat dirasai oleh rakyat yang terpaksa melalui kehidupan yang sukar. Ada yang telah mengalami kehilangan pekerjaan dan putus mata pencarian akibat wabak ini," ujarnya.

Justeru berdasarkan faktor-faktor ini, Muhyiddin berkata jemaah menteri berpandangan PRK Batu Sapi wajar dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh lain yang lebih sesuai, iaitu apabila pandemik Covid-19 berakhir.

"Saya bagi pihak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ingin memberi jaminan bahawa apabila pandemik Covid-19 berakhir, PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Apabila PRK diadakan kelak, para pengundi akan dapat melaksanakan hak demokrasi masing-masing dalam keadaan yang lebih selamat, aman dan tenteram,"ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain