suria

Belum ada rancangan laksana PKPD seluruh Lembah Klang... hanya lokaliti tertentu saja

Ismail Sabri berkata buat masa ini, PKPD dilaksanakan secar bersasar di lokaliti tertentu. Foto: Bernama

KERAJAAN tiada perancangan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Selangor buat masa ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, buat masa ini PKPD hanya dilaksanakan secara bersasar di lokaliti tertentu.

"Walaupun kita laksanakan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), tetapi kita juga membuat penilaian risiko daripada kawasan yang didapati ada kenaikan mendadak di kawasan tertentu.

"Di Selangor misalnya, kita ada buat dua PKPD iaitu di Medan 88 di Sepang dan terbaharu di perumahan pekerja Top Glove, Kapar," katanya dalam sidang media pada petang Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB di Lembah Klang tak gagal, lonjakan kes bukan dalam komuniti - Dr Noor Hisham

Ismail Sabri berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada pemberita yang bertanyakan sama ada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempunyai rancangan lain untuk mengekang penularan Covid-19 memandangkan Lembah Klang masih merekodkan kes tertinggi sehingga kini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau rapat dan mengesan mana-mana kawasan yang merekodkan kes tertinggi.

"KKM akan terus kenal pasti kawasan-kawasan ini dan jika ada keperluan untuk PKPD, maka kita laksanakan PKPD di lokaliti-lokaliti tertentu sahaja. Kita tak laksanakan PKPD di seluruh tempat," katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan peningkatan kes harian Covid-19 di Lembah Klang sejak kebelakangan ini membimbangkan penduduk setempat sekaligus menimbulkan persoalan kononnya PKPB yang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sejak pertengahan Oktober lalu tidak berjaya.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyangkal dakwaan sedemikian dan menjelaskan lonjakan kes Covid-19 di Lembah Klang kini hanya terhad kepada pekerja binaan dan bukan dalam komuniti.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain