suria

Tiada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera susulan pengisytiharan darurat di Batu Sapi - PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas pada petang Rabu. Foto: Bernama

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengisytiharan darurat di Parlimen Batu Sapi tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat di kawasan itu, malahan tiada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera susulan pengumuman berkenaan.

Memetik laporan Bernama, Muhyiddin berkata, pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu dan peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa di Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN: PM perjelas 5 sebab perlu isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi, batal PRK 5 Disember ini

"Kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan pengisytiharan darurat ini. Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi," kata Muhyiddin dalam perutusan khas mengenai pengisytiharan darurat, yang disiarkan oleh televisyen tempatan dan rangkaian media sosial.

Malah tambahnya kerajaan Perikatan Nasional ingin memberi jaminan bahawa apabila pandemik Covid-19 berakhir, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi akan diadakan pada kadar segera, katanya.

Dalam perutusan sama, Muhyiddin memberi penjelasan bersabit tindakan jemaah menteri membuat keputusan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi.

Beliau menggariskan lima sebab mengapa jemaah menteri yang bermesyuarat pada 13 November lalu, mengambil pertimbangan sedemikian yang antara tujuan utamanya adalah mengelakkan ancaman terhadap kesihatan awam.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain