suria

Istana Negara: Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi

Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah.

DIKEMASKINI

YANG di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada petang Rabu, Al Sultan Abdullah terlebih dahulu berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara.

Setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri, baginda bertitah, amatlah wajar Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Batu Sapi: Kekosongan perlu diisi dalam tempoh 60 hari, tapi boleh ditangguh jika kawasan diisytihar darurat - SPR

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Batu Sapi: PM arah aspek perundangan dikaji, tangguh dulu hingga Covid-19 berakhir

"Setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun; Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh, Al-Sultan Abdullah telah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi P.185 Batu Sapi, Sabah," demikian kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkenan Agong untuk darurat di Parlimen Batu Sapi diambil iktibar daripada PRN Sabah yang menjadi faktor utama gelombang ketiga Covid-19.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan peningkatan mendadak sehingga 148.4 peratus iaitu sebanyak 3,842 kes kumulatif pada 10 Oktober 2020, selepas dua minggu dari hari mengundi.

"Kes positif harian Covid-19 terus meningkat secara mendadak dua minggu berikutnya dengan peningkatan sehingga 193.7 peratus iaitu sebanyak 11,285 kes kumulatif yang telah dicatatkan pada 24 Oktober 2020.

"Perkenan Seri Paduka Baginda ini juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar bahagian P.185 Batu Sapi yang dijangka merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi," kata kenyataan itu lagi.

Tambahnya, Al Sultan Abdullah dalam masa yang sama menasihati rakyat agar berdisiplin memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa membendung Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRK Batu Sapi pada 23 November manakala hari pengundian pada 5 Disember dan pengundian awal pada 1 Disember.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober akibat jangkitan paru-paru.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain