suria

Tiada kompromi! Majikan diarah benarkan sejuta staf bekerja dari rumah hingga tamat PKPB

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan kerajaan bersetuju mengarahkan sejuta pekerja untuk bekerja dari rumah berkuatkuasa 22 Oktober ini.

SERAMAI 1 juta pekerja daripada sektor awam dan swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah diarahkan untuk bekerja dari rumah (work from home) berkuatkuasa 22 Oktober ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, arahan berkenaan adalah bertujuan mengurangkan pergerakan di kawasan-kawasan merah sekaligus bagi mengelakkan penularan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian! PKPB kembali dilaksana di Selangor, KL dan Putrajaya bermula Rabu

"Bagaimanapun, terdapat pengecualian bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang terlibat dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan.

"Pihak majikan diarah untuk mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang terpaksa bekerja di pejabat sepanjang tempoh ini.

"MITI akan mengeluarkan kenyataan media berkenaan arahan ini dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media pada petang Selasa.

Tambahnya lagi, pekerja yang tinggal di kawasan zon merah perlu melakukan swab test dan jika pihak majikan mencarum dengan Perkeso, kos berkenaan akan ditanggung.

"Pelaksanaan arahan ini akan berkuatkuasa bermula 22 Oktober 2020 sehingga pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah tamat," ujar Ismail lagi.

Untuk rekod, kerajaan minggu lalu mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa 14 Oktober, manakala Sabah pula bermula 13 Oktober.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain