suria

Isu parkir berakhir tragedi! Penjual minuman penggal kepala pemandu pikap, penduduk kampung ‘lanyak’ suspek depan polis

Pertikaian isu parkir berakhir tragedi. -Gambar hiasan AI

PERTIKAIAN kecil berkaitan tempat letak kereta bertukar tragedi berdarah apabila seorang penjual di tepi jalan bertindak memenggal kepala pemandu sebuah pikap.

Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Araria, Bihar, India pada Khamis.

Menurut polis, mangsa dikenali sebagai Ali Hussain dipercayai diserang oleh seorang penjual minuman tradisional ‘sattu’, Ravi Chauhan susulan perselisihan kecil mengenai parkir kenderaan.

Suspek dipercayai bertindak ganas dengan memenggal kepala mangsa sebelum mempamerkannya di hadapan ratusan orang awam yang berada di lokasi kejadian. 

Dia kemudian meninggalkan mayat mangsa di tempat kejadian.

Tragedi itu kemudiannya bertukar tegang apabila ahli keluarga mangsa bersama penduduk tempatan bertindak mencari suspek yang bersembunyi berhampiran rumahnya.

Suspek diheret ke lokasi kejadian sebelum dipukul menggunakan kayu dan batang besi sehingga maut.

Apa yang mengejutkan, kejadian tersebut berlaku di hadapan anggota polis.

Insiden pembunuhan berganda itu menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal apabila tercetus pergelutan antara polis dan kumpulan orang ramai yang berang dengan kejadian tersebut.

Pasukan keselamatan tambahan turut dikerahkan untuk meronda kawasan berkenaan bagi mengelak insiden lebih buruk. 

Polis kini menjalankan siasatan lanjut, sementara keadaan di lokasi tegang susulan dua kejadian pembunuhan yang berlaku dalam tempoh singkat itu. -Agensi

Artikel Lain