SEORANG wanita yang memandu kereta mewah jenis Mercedes-Benz didakwa melarikan diri tanpa membuat bayaran selepas mengisi petrol di sebuah stesen minyak. Kejadian pada pukul 2.42 petang, 6 April lalu itu berlaku di Thung Yai, Hat Yai, Songkhla, Thailand.Berdasarkan laporan, wanita berusia lingkungan 30 hingga 35 tahun itu tiba dengan menaiki Mercedes-Benz berwarna putih sebelum meminta pekerja mengisi minyak Benzine 95 bernilai 2,000 baht (kira-kira RM248).Bagaimanapun, dia kemudian menukar jumlah tersebut kepada 1,000 baht (kira-kira RM124) kerana pam minyak dikatakan berfungsi agak perlahan.Menurut pekerja stesen minyak berusia 23 tahun, Theerapong, wanita berkenaan cuba membuat bayaran menggunakan aplikasi perbankan mudah alih melalui iPhone miliknya, namun transaksi itu tidak dapat disahkan dengan jelas berikutan masalah sambungan internet yang perlahan.Dia kemudian memaklumkan kepada wanita itu bahawa pembayaran akan disemak terlebih dahulu menerusi sistem stesen minyak sebelum berjalan ke kaunter juruwang.Namun ketika pekerja tersebut sedang membuat semakan, wanita berkenaan dipercayai terus memandu keluar dari stesen minyak menuju ke kawasan perbandaran Kho Hong kira-kira pukul 2.45 petang.Theerapong berkata, dia tidak mengejar kenderaan terbabit kerana perlu melayan pelanggan lain yang sedang menunggu.Menurutnya, selepas membuat semakan lanjut, dia mendapati bayaran sebanyak 1,000 baht itu tidak diterima walaupun transaksi pelanggan lain direkodkan seperti biasa.Dia percaya pembayaran tersebut tidak berjaya dilakukan dan berharap wanita terbabit tampil semula bagi menjelaskan bayaran berkenaan.Lebih menambah rasa sedih apabila, dia yang memperoleh gaji harian sebanyak 350 baht (RM43) perlu menampung kerugian itu sekiranya bayaran tidak dibuat.Dalam pada itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kenderaan itu memasuki stesen minyak sekitar pukul 2.40 petang dan berhenti di pam nombor satu sebelum pengisian minyak dilakukan.Rakaman sama turut memaparkan detik pemandu berkenaan meninggalkan lokasi ketika pekerja sedang membuat semakan. -Agensi