Kes ini menjadi perhatian kerana ia melibatkan persetujuan, hak individu dan prosedur perubatan yang kompleks. -Gambar hiasan
SEORANG wanita mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Delhi, India untuk mendapatkan kebenaran mengambil sperma suaminya bagi membolehkan dia hamil, selepas lelaki itu terlantar koma lebih setahun lalu. Suami wanita tersebut kini berada di unit rawatan rapi (ICU) dalam keadaan vegetatif (mati otak) yang digambarkan doktor sebagai sangat kritikal dan masih memerlukan sokongan hayat. Wanita itu membuat petisyen agar sampel sperma suaminya disimpan sementara ia masih boleh digunakan, memandangkan sebarang kelewatan boleh merosakkan peluangnya untuk mempunyai anak.Menurut peguam wanita itu, Arjit Gaur, prosedur pengambilan sperma boleh dilakukan melalui kaedah pembedahan dari testis, sebelum disimpan di makmal pada suhu -196 darjah Celsius. Pakar persenyawaan in-vitro (IVF), Dr Shivani Sachdev pula menjelaskan bahawa sperma yang diambil boleh disimpan untuk tempoh yang lama dan tetap sesuai untuk percubaan IVF, walaupun suami berada dalam keadaan koma.Namun, isu persetujuan pasangan menjadi cabaran utama di mana undang-undang India menetapkan bahawa penggunaan sperma memerlukan persetujuan bersama suami dan isteri. Situasi suami yang tidak dapat memberi persetujuan kerana keadaan vegetatif menimbulkan persoalan undang-undang dan etika yang kompleks.Kes ini dijadualkan untuk perbicaraan pada 9 April (Khamis). Peguam bagi Kerajaan Pusat, Ayush Gaur, menyatakan perkara ini sedang diperiksa dengan teliti, dan semua mata kini tertumpu kepada Mahkamah Tinggi Delhi untuk melihat keputusan yang bakal dibuat. -Agensi