Kelihatan kesan luka yang dialami mangsa akibat diketuk oleh guru tuisyen menggunakan telefon bimbit. -Foto Thaiger
SEORANG bapa tampil membuat laporan polis selepas mendakwa anak lelakinya yang berusia tujuh tahun cedera akibat dipukul oleh seorang guru tuisyen wanita.Dalam kejadian pada 7 April itu, kanak-kanak berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan di kepala selepas didakwa dipukul menggunakan telefon bimbit oleh guru terbabit. Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Saraburi, Thailand untuk mendapatkan rawatan.Pemeriksaan doktor mendapati luka dialami tidak serius, tidak memerlukan jahitan dan hanya merupakan luka kecil.Bapa mangsa, Pitak, 41, berkata anaknya menghadiri kelas tuisyen berkenaan lebih seminggu sebelum insiden berlaku."Guru tuisyen itu didakwa bertindak memukul kepala anak saya dengan telefon bimbit selepas dia menjawab tiga soalan latihan bahasa Thai dengan salah," katanya.Selain itu, Pitak turut mendakwa guru tuisyen yang dikenali sebagai Jit dan berusia sekitar 50 tahun itu pernah menarik telinga serta memukul belakang badan anaknya.Tambahnya, anaknya sebelum ini pernah mengadu diperlakukan sedemikian sejak minggu lalu, namun dia tidak mempercayai dakwaan tersebut pada waktu itu.Menurut Pitak, guru tuisyen berkenaan kemudiannya menghubunginya dan mengakui secara tidak sengaja menghentak telefon bimbit pada kepala kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan.Ketika disoal, wanita tersebut dilaporkan memberi alasan hilang sabar akibat cuaca panas.Malah, tutor itu turut menawarkan pampasan sebanyak 500 baht (RM61) serta memaklumkan bahawa Pitak boleh membuat laporan polis jika tidak berpuas hati.Namun, Pitak menolak tawaran tersebut dan telah membuat laporan di Balai Polis Mueang Saraburi.Katanya, tindakan itu diambil bagi memastikan kes berkenaan disiasat mengikut saluran undang-undang, selain mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang. -Agensi