SEORANG peniaga minuman berusia 19 tahun melalui detik ngeri apabila disiram minyak panas oleh pekerja sebuah vendor, dalam satu kejadian di sebuah pusat beli-belah.Menurut laporan, insiden tersebut berpunca daripada salah faham kecil antara mangsa dan suspek beberapa hari sebelum kejadian yang kemudian membawa kepada pertengkaran. Keadaan bagaimanapun bertukar tegang pada lewat petang Sabtu lalu, apabila mangsa menegur suspek yang berusia 32 tahun dikenali sebagai Fon, supaya mematikan suis penggoreng bebola daging bagi mengelakkan risiko kebakaran.Namun, teguran itu mengundang tindakan luar kawalan apabila suspek bertindak mengambil kuali berisi minyak panas sebelum menyimbah ke arah mangsa.Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dengan kesan melecur dilaporkan melibatkan lebih 30 peratus anggota badan.Mangsa kini sedang menerima rawatan rapi di sebuah hospital di wilayah Krabi, namun tempoh pemulihannya masih belum dapat dipastikan.Dalam pada itu, mangsa meluahkan rasa terkejut dan sedih dengan kejadian tersebut kerana menyifatkan suspek sebagai seorang yang baik dan jujur.Malah, beberapa jam sebelum insiden, dia sempat menyediakan minuman untuk suspek sebagai tanda persahabatan mereka.Rakaman [Tonton Video] ketika insiden berkenaan kini tular di media sosial.Sementara itu, pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar serta kronologi penuh kejadian. -Agensi