suria

Macam aksi drama! Lelaki panjat bonet kereta cuba halang BF isteri larikan diri... Kantoi berbogel di kawasan parkir

Seorang suami memanjat bonet kereta bagi menghalang kekasih isterinya melarikan diri. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara enam minggu selepas ditangkap dalam keadaan bogel bersama kekasihnya di kawasan parkir awam.

Lebih mengharukan, mahkamah di Singapura yang bersidang pada Isnin diberitahu bahawa kekasihnya itu berstatus isteri orang.

Akibat takut selepas aktiviti mereka dikesan, tertuduh, Chia Hiok Seah cuba melarikan diri dengan memandu laju walaupun dia dihalang oleh suami kekasihnya itu.

Susulan itu, suami kekasihnya tercampak dari bonet kereta.

Chia, 51, turut digantung daripada memiliki atau memohon semua kelas lesen memandu selama setahun bermula dari tarikh pembebasannya.

Chia mengaku bersalah atas pertuduhan berbogel di tempat awam dan turut disabitkan kesalahan menyebabkan kecederaan kepada suami kekasihnya, Goh Yong Sern.

Dia juga dikenakan denda S$1,000 (RM3,140) dalam kejadian yang berlaku di Compassvale Bow di Sengkang, Singapura.

Berdasarkan fakta kes, dalam kejadian pada 28 Jun 2024 itu, Chia bertemu kekasihnya, Wong Shunyi untuk makan malam sebelum menghantarnya pulang.

Bagaimanapun, mereka berhenti di sebuah tempat letak kereta bertingkat sebelum menanggalkan pakaian dan melakukan hubungan intim di dalam kenderaan.

Sekitar pukul 2 pagi, Goh yang sedang mencari isterinya menemukan kereta berkenaan. 

Dia cuba membuka pintu namun gagal sebelum bertindak memanjat bonet kereta bagi menghalang pasangan itu daripada beredar.

Chia kemudian memandu menyebabkan Goh tercampak dan mengalami kecederaan pada muka, dada, tangan kanan serta lutut kiri sehingga memerlukan cuti hospital selama 14 hari.

Pendakwa raya menegaskan tindakan Chia menyebabkan kecederaan yang tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dianggap sebagai mempertahankan diri kerana mangsa tidak dapat menyentuh mereka yang berada di dalam kereta.

Chia mendakwa dia bertindak demikian kerana takut diserang, namun hakim menolak alasan tersebut. 

Mahkamah turut menegur tindakannya yang masih meneruskan hubungan sulit walaupun ia diketahui suami wanita itu.

Hakim berkata Chia sepatutnya mendapatkan bantuan atau membunyikan hon, bukannya memandu ketika mangsa masih berada di atas bonet. -Agensi

Artikel Lain