suria

Hanya sebab buat bising main ‘game’ online, lelaki hilang pertimbangan tikam remaja 15 tahun

Mangsa maut di lokasi kejadian. -Gambar hiasan

 

SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas ditikam jirannya yang tidak tahan dengan suara bising mangsa.

Kejadian dilaporkan berlaku di Mamajang, Sulawesi Selatan, Indonesia pada Isnin lalu.

Berdasarkan laporkan, insiden itu berlaku ketika mangsa sedang bermain permainan dalam talian bersama beberapa rakannya di sebuah lorong berhampiran rumah suspek.

Difahamkan, mangsa dan rakan-rakannya terlibat dalam pertengkaran sehingga mengganggu ahli keluarga suspek yang sedang berehat.

Mangsa kemudian ditegur oleh ahli keluarga suspek supaya tidak membuat bising di kawasan berkenaan.

Keadaan bagaimanapun bertukar tegang apabila suspek tiba di lokasi sebelum bertindak menikam mangsa secara tiba-tiba.

Menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Makassar, Pesuruhjaya Wahiduddin, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut serta memburu suspek yang melarikan diri selepas kejadian.

"Mangsa disahkan meninggal dunia akibat tikaman di bahagian perut," katanya pada Selasa.

Tambah Wahiduddin, beberapa saksi termasuk rakan mangsa telah dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Mamajang bagi membantu siasatan.

Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, rumah suspek yang terletak bersebelahan kediaman mangsa kini dikawal ketat pihak polis. -Agensi

Artikel Lain