suria

162 daripada 1,292 kawasan alami gangguan bekalan air pulih sepenuhnya

Sejumlah 162 atau 13 peratus daripada 1,292 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual telah pulih sepenuhnya setakat 9 pagi Selasa. foto: BERNAMA.

KHABAR gembira buat sebilangan rakyat Selangor yang terjejas ekoran gangguan bekalan air.

Terbaharu, sejumlah 162 atau 13 peratus daripada 1,292 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2, 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran semalam, telah pulih sepenuhnya setakat 9 pagi Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut tengok orang beratur! Ustaz Ebit beli 2 lori tangki air bantu rakyat Selangor, padahal rumah sendiri pun terjejas

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata sebanyak 1,130 lagi kawasan di wilayah terjejas masih dalam proses pemulihan.

“Pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar bagi kawasan yang masih belum menerima bekalan air dan mengikut jadual pelan pemulihan bekalan air, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Elina berkata Air Selangor terus menggerakkan 121 lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan yang terjejas.

Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili awam yang disediakan untuk kemudahan pengguna semasa tempoh pemulihan bekalan air.

Elina berkata orang ramai boleh merujuk senarai pili awam di laman sesawang www.airselangor.com.

“Pengguna dinasihatkan mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air dari lori tangki dan di pili awam, ” katanya.

Pemakluman status pemulihan bekalan air akan dikeluarkan Air Selangor dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor serta laman sesawang www.airselangor.com, katanya.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain