Beberapa jam selepas angkat sumpah, portfolio Bung Moktar bertukar daripada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan kepada Kerja Raya

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika mengangkat sumpah, pagi tadi. Foto: Bernama

BEBERAPA jam selepas mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kini beralih portfolio.

Bung yang juga Adun Lamag kini memegang portfolio Menteri Kerja Raya Sabah.

Portfolio Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah pula dipegang oleh Adun Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun, yang turut diberikan portfolio Menteri Kewangan 2.

ARTIKEL BERKAITAN: Hajiji angkat sumpah Ketua Menteri Sabah ke-16

Pertukaran berkenaan diumumkan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor ketika sidang akhbar pertama beliau selepas melapor diri di Pejabat Ketua Menteri, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada Selasa.

Difahamkan, sebelum itu berlaku sedikit kekeliruan berhubung kedua-dua portfolio berkenaan sebelum upacara mengangkat sumpah.

Sumber terdekat dengan Bung mengatakan bahawa telah dipersetujui sebelumnya bahawa Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu akan dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.

Namun sebelum upacara mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Bung mendapati dia telah diberikan portfolio Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Dalam pada itu, Hajiji dalam sidang akhbar tersebut menafikan wujud rasa tidak senang dalam kalangan pemimpin Umno.

"Itu tak benar, Umno ada di sini," ujar Hajiji merujuk kepada Bung yang berada di sebelahnya.

Hajiji terdahulu mengumumkan nama enam menteri kabinet Sabah, di mana lima lagi menteri kabinet dijangka akan diumumkan kemudian. - THE STAR



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain