suria

Lapan kluster aktif, Sarawak mungkin dikenakan PKPD jika kes terus meningkat

PKPD mungkin akan dikuat kuasa di lokaliti atau kumpulan sasar yang merekodkan kes positif di Sarawak. Foto: Shaari Chemat /The Star

KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak menolak kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mungkin akan dikuatkuasakan di Sarawak sekiranya kes positif Covid-19 menunjukkan trend peningkatan.

Walaubagaimanapun menurut Dr Noor Hisham, buat masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih mampu mengawal penularan Covid-19 di negeri itu.

Untuk rekod, daripada 19 kluster yang masih aktif, lapan daripadanya terdapat di Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja positif Covid-19, pejabat SPR Sarawak ditutup hingga 2 Ogos

"Tindakan kita, kita telah hantar pasukan KKM di lapangan dan akan memantap dan meningkatkan pengesanan kontak untuk mengesan kes-kes yang positif.

"Setakat ini, kita masih mengawal dengan baik tetapi kalau perlu kita akan menjalankan PKPD di kawasan berkenaan, iaitu di lokaliti atau kumpulan sasar yang telah dikenal pasti," katanya dalam sidang media pada petang Khamis.

Dr Noor Hisham berkata KKM akan terus menjalankan pengesanan kontak terhadap individu yang terdedah kepada kes-kes positif dan seterusnya melakukan ujian swab.

Individu yang didapati positif akan dimasukkan ke hospital manakala bagi yang didapati negatif akan dikuarantin.

Lapan kluster di Sarawak yang masih aktif adalah Sentosa, Stutong, Kejuruteraan Kuching, Mambong, Jupiter, Pusat Perubatan Kuching, Jeti Kuching dan PUI Melbourne. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

PKPD, Sarawak

Artikel Lain