suria

Ditanya jika ziarah Aidiladha akan dihadkan? Ini jawapan Ismail Sabri - “Setakat ini tak sekat, tapi boleh berubah kalau kes naik mendadak”

Terdahulu, selain tiada pergerakan rentas negeri, orang ramai tidak dibenarkan untuk bermalam di rumah yang dikunjungi pada hari raya pertama. Gambar hiasan/Foto utopiastaging.blogspot.my

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob memberi amaran bahawa syarat untuk aktiviti ziarah sempena sambutan Aidiladha boleh dikenakan sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu memberitahu, perkara tersebut akan dibuat berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan.

"Setakat ini tidak lagi, raya (haji) masih ada seminggu lagi. Keadaan boleh berubah mengikut situasi semasa. Sebelum ini kita tak sekat pengunjung datang ke rumah pada hari-hari biasa.

"Tiba-tiba raya haji kita tetapkan pula. Kita konsisten, jika hari biasa boleh berkunjung ke rumah, raya haji pun kita tidak menyekat.

"Bagaimanapun, situasi boleh berubah dalam masa sehari, dua hari. Kalau dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan, kalau ada peningkatan kes secara mendadak, kita akan mengubah SOP (prosedur operasi standard) dan polisi kita," katanya dengan nada tegas pada sidang media, petang Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan had jumlah pengunjung semasa Hari Raya Aidiladha berikutan trend peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada 31 Julai ini, menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Kerajaan sebelum ini menetapkan sekatan pergerakan rentas negeri, dan tempoh tersebut turut membabitkan sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang mana balik kampung di negeri-negeri lain adalah tidak dibenarkan.

Selain itu, kerajaan juga membenarkan aktiviti ziarah terhad kepada 20 orang pada hari pertama perayaan sahaja yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat.

Malah, kunjungan pada hari pertama Aidilftri tidak membenarkan pelawat untuk bermalam.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

raya Haji, Aidiladha, kunjungan, pelawat, SOP,

Artikel Lain