suria

Padah abai SOP! Mulai 1 Ogos wajib pakai mask dalam pengangkutan awam, tempat sesak... tiada lagi kuarantin di rumah

topen muka

BERMULA 1 Ogos depan, pemakaian pelitup muka atau topeng muka di pengangkutan awam dan tempat-tempat awam yang sesak adalah diwajibkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, trend jangkitan Covid-19 menunjukkan peningkatan walaupun sedikit demi sedikit.

Peraturan itu diputuskan kerajaan selepas mendapati amalan penjarakkan sosial dan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam serta prosedur operasi standard (SOP) di tempat-tempat awam yang bersesak tidak dipatuhi oleh orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia, warga asing pulang dari luar negara akan jalani kuarantin wajib mulai Jumaat ini

"Sudah tiga hari, kes positif (Covid-19) dua angka yang telah lama kita tidak dapat. Dulu satu angka setiap hari, malah pernah kosong pun jangkitan di dalam negara.

"Kementerian Kesihatan melaporkan kurangnya pematuhan rakyat Malaysia terhadap SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Oleh itu, kerajaan telah membuat keputusan mulai 1 Ogos, pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan tempat-tempat awam yang bersesak-sesak adalah diwajibkan," katanya pada sidang media, petang Khamis.

Ismail Sabri berkata, mereka yang didapati ingkar peraturan tersebut akan dikenakan tindakan tegas seperti kompaun dan dihadapkan ke mahkamah.

Tambah beliau, orang ramai boleh mengunakan pelitup muka yang dijahit sendiri mengikut spesifikasi yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa untuk mengurangkan jangkitan adalah memakai pelitup muka atau melakukan penjarakkan sosial.

"Dua perkara ini sangat membantu untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan memandang serius insiden-insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin di rumah, yang telah menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

"Dari apa yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan, 50 peratus daripada rakyat kita yang menjalani kuarantin di rumah tidak patuh (SOP). Jumlahnya sangat besar.

"Oleh itu, seperti yang telah diumumkan, kerajaan tidak lagi membenarkan kuarantin di rumah, tetapi kuarantin secara wajib di stesen-stesen kuarantin yang telah dikenal pasti oleh kerajaan sama ada di Institut Latihan Awam (ILA) atau hotel, bermula esok 24 Julai," katanya sambil menambah mereka yang dikuarantin perlu menanggung sepenuhnya kos ujian saringan termasuk kos harian kuarantin.

Bagi pelajar tajaan, Ismail Sabri berkata, penaja-penaja diminta untuk membayar kos kuarantin pelajar yang terlibat, manakala pelajar dari keluarga B-40 boleh memohon pengecualian bayaran, serta Orang Kurang Upaya (OKU) juga dikecualikan bayaran.

Beliau juga memberitahu bahawa kerajaan membenarkan anak yang berumur 12 tahun ke bawah untuk berkongsi bilik dengan ibu bapa yang pulang dari tempat yang sama, tetapi perlu menandatangai surat persetujuan terlebih dahulu.

"Kalau berlaku sebarang jangkitan, mereka telah memberi surat kebenaran kepada kerajaan untuk membolehkan mereka tinggal satu bilik bersama keluarga mereka," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

pelitup muka, topeng muka,

Artikel Lain